KEMENTERIAN Luar Negeri berhasrat menutup pejabat kedutaan di Pyongyang ketika hubungan diplomatik Malaysia dengan Korea Utara masih tegang selepas pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin negara itu, Kim Jong-un pada 13 Febuari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2).
Pembunuhan disyaki menggunakan senjata kimia itu sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Menteri Luar, Anifah Aman mengatakan, beliau akan menghantar kertas cadangan kepada Kabinet bagi memindahkan kedutaan ke Beijing, China.
Dalam ceramah awam di Universiti Malaysia Sarawak di Kota Samarahan, Kuching mengenai masalah dan cabaran dasar asing Malaysia, Anifah berkata “tidak adil” menghantar duta dan kakitangan kedutaan kembali ke negara itu kerana masih wujud kebimbangan keselamatan.
Semenanjung Korea juga kini berada dalam ketegangan disebabkan tindakan Pyongyang melancarkan peluru berpandu dan mengadakan ujian nuklear.
Mac lalu, Pyongyang mengusir Duta Malaysia, Mohamad Nizam Mohamad sebagai balasan pengusiran Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol.
Kang diisytiharkan “persona non grata” pada 4 Mac- tindakan yang serta merta membatalkan status diplomatiknya- dan diberikan tempoh 48 jam untuk meninggalkan negara ini kerana gagal menghadirkan diri selepas dipanggil Wisma Putra.
Sembilan kakitangan Kedutaan Malaysia dan ahli keluarga mereka pula terperangkap di Pyongyang selepas mereka dihalang meninggalkan negara itu.
Membawa mereka keluar dengan selamat adalah kejayaan diplomatik, kata Anifah kepada pelajar yang hadir mendengar ceramah itu, kebanyakan mereka adalah pelajar jurusan perhubungan antarabangsa.
Buat pertama kali, beliau juga mendedahkan Wisma Putra ketika itu tidak boleh menyewa pesawat untuk membawa kakitangannya keluar kerana “tiada siapa mahu sewakan pesawat mereka”.
Katanya, tindakan itu disebabkan wujud kebimbangan pesawat itu akan dirampas Korea Utara.
Anifah berkata rundingan untuk membawa keluar kakitangan kedutaan dan ahli keluarga mereka mengambil masa kerana ia adalah sebahagian daripada pendekatan “diplomatik berhati-hati” yang diamalkan Wisma Putra dalam menangani situasi itu.
“Terdapat banyak kenyataan berapi-api daripada semua orang yang ada kaitan dengan kes itu, malah ada juga kenyataan daripada mereka yang tiada kaitan.
“Biar saya jujur, ada kenyataan kasar itu mencemarkan Malaysia dan menyebabkan rakyat marah.
“Selaku menteri, saya ambil masa saya, buat kenyataan hanya bila perlu.
“Emosi membuak-buak ketika itu dan tidak perlu menyukarkan keadaan sampai hilang kawalan.
“Akhirnya, tepat tindakan Kementerian Luar untuk tidak keluarkan kenyataan keras. Kenyataan sekali diucapkan, tidak boleh ditarik balik atau di batalkan
“Ia membantu kerana sebaik sahaja rundingan untuk sembilan rakyat Malaysia di Pyongyang bermula, kami boleh duduk dan membincangkan tanpa ada syak wasangka buruk dalam fikiran kami semua,” katanya.
Sembilan rakyat itu akhirnya selamat diterbangkan kembali ke tanah air menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia, “jauh daripada pengetahuan media antarabangsa”.
Mereka dibawa keluar dari negara itu pada jam 3 pagi.
Anifah berkata pesawat membawa rakyat Malaysia meninggalkan negara itu “disesuaikan” untuk terbang pada tempoh sama dengan pesawat membawa keluar rakyat Korea Utara, suspek bunuh Jong-nam.
Hanya dua wanita, warga Vietnam, Doan Thi Huong dan rakyat Indonesia, Siti Aisyah sedang dibicarakan dalam kes pembunuhan itu. – 12 Oktober, 2017.
Komen