AKUAN bersumpah Azilah Hadi yang menggemparkan semalam, terdedah selepas beberapa tahun sebelum ini, mendiang penyiasat peribadi P Balasubramaniam mendedahkan akuan bersumpahnya yang mencetuskan kejutan pada 2008.
Sementara akuan Azilah menyatakan bekas perdana menteri Najib Razak sebagai individu yang mengarahkan pembunuhan Altantuya pada 2006 kerana dia seorang pengintip asing, akuan Balasubramaniam pula menyentuh tentang hubungan seksual antara Najib dan penterjemah Mongolia itu, dan perkahwinan mangsa dengan pegawai khas Najib ketika itu, Abdul Razak Baginda.
Dikenali sebagai PI Bala, beliau diubah oleh Razak pada 2006 untuk memantau pergerakan Altantuya. Najib ialah timbalan perdana menteri ketika itu.
Bala dalam akuan bersumpahnya yang pertama bertarikh 1 Julai, 2008, hampir dua tahun selepas pembunuhan Altantuya antara malam 19 Oktober hingga awal pagi 20 Oktober, 2006 berkata Razak dan Altantuya masing-masing memberitahunya tentang maklumat tertentu bagaimana Altantuya berkait dengan Najib.
Bala yang meninggal dunia kerana serangan jantung pada 2013, berkata Altantuya yang mengenalkan dirinya sebagai “Aminah” memberitahunya dia bertemu Razak di Singapura bersama Najib; dan bertemu mereka sekali lagi pada satu makan malam di Paris; dan dijanjikan AS$500,000 sebagai komisen bagi membantu dalam satu urus niaga kapal selam di Paris.
Wanita berusia 28 tahun itu turut memberitahu Bala bahawa Razak berkahwin dengannya di Korea; membelikannya rumah di Mongolia tetapi abangnya mencagarkannya semula; dia memerlukan wang untuk rawatan perubahan ibunya; dan sekarang dia mahu bertemu Razak untuk meminta wang, dan jika gagal dia mahu berjumpa Najib.
Bala turut menyatakan dalam akuannya bahawa Razak memberitahunya tentang bagaimana Najib memperkenalkan Altantuya kepadanya (Razak) di Singapura; Najib mengaku mempunyai hubungan seksual dengan Altantuya; dan Najib tidak mahu ada kaitan dengan Altantuya lagi kerana sudah menjadi timbalan perdana menteri.
Razak juga berkata Altantuya meminta wang daripadanya berhubung urus niaga kapal selam itu, kata Bala.
Akuan Bala tentang malam 19 Oktober ketika Azilah, Sirul Azhar Umar dan lans koperal Rohaniza dang mengambil Altantuya di luar rumah Razak di Bukit Damansara, kebanyakannya hampir sepadan dengan akuan Azilah.

Tetapi Bala kemudian membuat pusingan U, menafikan semua yang dikatakannya itu menerusi akuan bersumpah kedua, bertarikh 4 Julai, 2008 tidak sampai 24 jam selepas beliau mengadakan sidang akhbar sehari sebelum itu untuk mendedahkan akuan bersumpahnya yang pertama.
Selepas itu, beliau dan keluarganya melarikan diri dari Malaysia, hidup dalam buangan di India hingga 2013, apabila mereka pulang ke Malaysia. Bala meninggal dunia kerana serangan jantung pada Mac tahun itu, hanya beberapa minggu selepas pulang ke tanah air.
Isterinya, Santamil Selvi dua kali cuba menyaman Najib, isterinya Rosmah Mansor dan enam yang lain kerana trauma dan kerugian yang dialami akibat terpaksa melarikan diri dari Malaysia berhubung akuan bersumpah kedua itu.
Santamil tidak berjaya dalam kedua-dua cubaannya membawa saman itu ke mahkamah, di mana beliau mendakwa Najib ran Rosmah menggunakan pihak lain memaksa Bala menarik balik akuan bersumpah yang pertama.
Mereka juga mendakwa akuan kedua dirangka oleh orang lain dan memaksa Bala membacanya pada satu lagi sidang akhbar pada 4 Julai, 2008.
Bala juga saksi utama dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya yang mendapati Azilah dan Sirul Azhar bersalah atas pertuduhan membunuh itu di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Rayuan kemudian menerima rayuan difailkan kedua-duanya, tetapi Mahkamah Persekutuan kemudian mengembalikan sabitan terhadap kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas itu dan mereka dijatuhi hukuman mati pada 2015.
Razak turut dituduh bersubahat dalam pembunuhan itu, tetapi dibebaskan tanpa perlu membela diri.
Akuan berkanun Azilah difailkan sebagai dokumen sokongan bagi permohonannya di Mahkamah Persekutuan bagi semakan semula sabitan dan hukuman mati terhadapnya dan Sirul Azhar, dan perbicaraan semula.
Pengurusan kes ditetapkan hari ini. – 17 Disember, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen