Desakan letak jawatan di Perda satu ugutan, kata Haniff Khatri


Zaim Ibrahim

Haniff Khatri (kiri) mewakili Muhammed Yusoff Rawther, lelaki yang menuduh Anwar Ibrahim mencabulnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2019.

DESAKAN dibuat kumpulan Pro-98 Reformasi Pulau Pinang yang menuntutnya meletak jawatan sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) adalah satu ugutan, kata Haniff Khatri.

Jelasnya, tugasnya sebagai peguam yang mewakili Muhammed Yusoff Rawther tidak bertentangan dengan jawatannya di Perda.

“Kenyataan Media Pro-98 Reformasi Pulau Pinang bertarikh 12.12.2019 secara keseluruhannya adalah satu intimidasi dan ugutan berasaskan tohmahan salah terhadap saya, sama ada berhenti mewakili saudara Yusoff Rawther atau untuk saya meletakkan jawatan saya sebagai pengerusi Perda. 

“Sebagai pengerusi Perda yang bertanggungjawab dan sebagai seorang peguambela dan peguamcara yang profesional, dan mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang yang dihormati oleh Kerajaan Pakatan Harapan, saya tidak akan tunduk kepada intimidasi dan ugutan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pagi tadi, Pro-98 Reformasi Pulau Pinang, kumpulan pro Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa Haniff sengaja terbabit dalam “mainan politik kotor” dengan mewakili Yusoff Rawther.

“Jika Haniff tidak mahu menghentikan politik kotor ini, beliau patut meletak jawatan dalam Perda dan berambus dari Pulau Pinang,” kata jurucakap kumpulan itu, Amir Ghazali di Permatang Pauh, pagi tadi.

Jelas Haniff, jawatan beliau sebagai pengerusi Perda bukanlah jawatan sepenuh masa dan beliau lagi seorang peguam bela dan peguam cara sepenuh masa.

“Sejak pelantikan saya mulai 04.01.2019, kerjaya saya sebagai peguambela dan peguamcara tidak menghalang saya dari berulang ke pejabat Perda untuk tempoh dua hari setiap minggu sehingga ke bulan Mei 2019.

“Selepas itu untuk tempoh dua hari setiap dua minggu mulai bulan Jun 2019 sehingga kini, bagi tujuan memyelia dan mengawasi pelaksanaan kesemua program lama dan baru untuk pembangunan dan kejayaan masyarakat Perda,” tambahnya.

Katanya lagi, sejak kerajaan Pakatan Harapan memerintah, beliau mewakili pelbagai pihak lain dalam kes melawan kerajaan persekutuan, negeri dan agensi awam.

Antaranya, beliau menjadi peguam berhubung kebenaran pengkomitan dalam kes anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas.

“Semata-mata kerana aduan Yusoff Rawther adalah berunsur aduan kesalahan seksual terhadap seorang pemimpin dalam Pakatan Harapan, ianya adalah salah dan khilaf untuk dilabelkan sebagai politik longkang tanpa keputusan siasatan.

“Satu siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa wajib dibenarkan untuk dijalankan, tanpa gangguan atau intimidasi mana-mana pihak sama sekali supaya satu keputusan adil dapat diperolehi terhadap aduan itu,” tambahnya.

Minggu lalu, beberapa hari sebelum Kongres PKR di Melaka, Yusoff yang merupakan bekas pembantu Anwar mendakwa dicabul presiden PKR itu.

Petang tadi, Anwar Ibrahim meluangkan masa lebih sejam bersama polis di Bukit Aman, yang merekodkan keterangannya berkaitan dakwaan cabul itu.

Anwar dalam kenyataan media dikeluarkan selepas itu berkata beliau hadir pada jam 4 petang dan habis memberi keterangan sejam kemudian. 

Skandal seksual terbaru melibatkan Anwar bermula pada 4 Disember lalu, apabila Yusoff mengeluarkan akuan bersumpah mendakwa dicabul Anwar pada 2 Oktober.

Bagaimanapun, tuduhan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Anwar, mendakwa ketika tarikh kejadian beliau sibuk berkempen di Pilihan Raya Kecil Port Dickson. – 12 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen