Anwar beri keterangan kepada polis berkaitan tuduhan kes cabul


Alfian Z.M. Tahir

Presiden PKR Anwar Ibrahim meluangkan masa sejam setengah memberi keterangan berkaitan tuduhan Muhammed Yusoff Rawther. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim meluangkan masa lebih sejam bersama polis di Bukit Aman hari ini, yang merekodkan keterangannya berkaitan dakwaan cabul dibuat seorang bekas pekerja parti.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan perkara itu tetapi tidak mengulas lanjut.

“Ya, dia datang untuk diambil keterangan selama sejam setengah,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu diambil keterangan susulan dakwaan dibuat bekas pembantunya, Muhammed Yusoff Rawther yang beliau dicabul Anwar.

Anwar dalam kenyataan media dikeluarkan selepas itu berkata beliau hadir pada jam 4 petang dan habis memberi keterangan sejam kemudian. 

“Sepanjang proses tersebut, saya telah memberikan fakta dan kerjasama sepenuhnya kepada polis. Sejurus itu mereka bersama saya yang turut disertai peguam Ramkarpal Singh telah ke rumah untuk melengkapkan siasatan.

“Saya menghargai tindakan dan layanan pegawai polis yang menjalankan tugas dengan penuh profesional sepanjang proses berlangsung,” katanya. 

Isnin lalu, polis mengambil keterangan Yusoff dan menerima akuan bersumpah tentang kejadian itu.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara berserta beberapa cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed, semalam dalam satu kenyataan.

Pada 7 Disember lepas, Yusoff membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul yang membolehkan polis menyiasat dakwaannya. Dalam laporan sama, Yusoff turut meluahkan kebimbangan mengenai keselamatannya dan mendakwa menerima ugutan beberapa pihak.

Skandal seksual terbaru melibatkan Anwar bermula pada 4 Disember lalu, apabila Yusoff mengeluarkan akuan bersumpah mendakwa dicabul Anwar pada 2 Oktober.

Bagaimanapun, tuduhan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Anwar, mendakwa ketika tarikh kejadian beliau sibuk berkempen di Pilihan Raya Kecil Port Dickson. – 12 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen