Musnah Umno kerana nilai materialistik disemai Dr Mahathir


Nabihah Hamid

Beliau dari awal bersikap bahawa untuk menjadi orang Melayu bermaruah dan terhormat mestilah bersandarkan materialistik. Orang Melayu mesti kaya dan selain menguasai politik perlu menguasai ekonomi Melayu. Betul tapi dalam proses membentuk masyarakat ekonomi yang kuat dalam beberapa hal Dr Mahathir mengetepikan nilai-nilai yang baik, kata Zainuddin Maidin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 29 Oktober, 2017.

BEKAS menteri Umno, Zainuddin Maidin menyalahkan Dr Mahathir Mohamad kerana nilai materialistik yang disemainya menjadi punca kemusnahan parti Melayu itu.

Dalam bukunya bertajuk “Pergi Mampuslah Umno” yang menghimpunkan tulisan blognya, bekas ketua pengarang Utusan Melayu itu berkata Dr Mahathir kini perlu “membayar” kepincangan sikap materalistik pemimpin dan bangsa Melayu yang lahir pada zamannya.

“Walaupun tajuk itu ganas tetapi pada keseluruhannya akan dapat rasionalisasi dengan keadaan (Umno dan politik) sekarang. Saya beri tanggungjawab apa yang berlaku sekarang kepada Dr Mahathir.

“Beliau dari awal bersikap bahawa untuk menjadi orang Melayu bermaruah dan terhormat mestilah bersandarkan materialistik. Orang Melayu mesti kaya dan selain menguasai politik perlu menguasai ekonomi Melayu.

“Betul tapi dalam proses membentuk masyarakat ekonomi yang kuat dalam beberapa hal (Dr) Mahathir mengetepikan nilai-nilai yang baik. Tidak hairanlah Najib kata ‘money is the king’,” katanya dalam satu temubual bersama The Malaysian Insight baru-baru ini.

Najib Razak sebelum ini dilaporkan menggunakan pendekatan “cash is kingpada pertemuan di White House saat mengumumkan pelaburan berbilion ringgit dalam ekonomi Amerika Syarikat (AS).

Walaupun anak kelahiran Kedah itu hanya menyertai Umno pada 2004 selepas menjadi calon pilihan raya umum (PRU), beliau mendakwa dirinya lebih menjiwai Umno berbanding pemimpin lain termasuk Perdana Menteri Najib Razak.

“Saya umur 18 tahun sudah mengikuti perkembangan Tunku Abdul Rahman. Saya melihat Umno dari awal. Apa yang Najib buat saya kecewa. Saya bandingkan semua PM (perdana menteri) tak pernah saya rasa seperti keadaan sekarang,” kata bekas ahli Parlimen Merbok itu.

“Saya lebih Umno dari Najib. Mana yang mengata saya, mereka hanyalah budak hingusan,” katanya yang terlalu kecewa dengan pentadbiran Najib kini kerana terpalit pelbagai skandal.

Untuk menzahirkan kecewanya, Zainuddin, 77, yang dikenali sebagai Zam menerbitkan kompilasi tulisan blognya sejak 2013. Sebanyak 5,000 naskhah diterbitkan dan mula dijual 20 Oktober yang lalu.

Buku itu mendapat jualan memberangsangkan melalui jualan atas talian dan turut dijual di kedai-kedai buku tempatan dan lebih 20 pengedar dilantik di seluruh negara

Tolak gejala rasuah, Dr Mahathir hanya retorik

Mengakui pemerintahan Najib dicemari pelbagai skandal rasuah, Zainudin menambah gejala itu terus berlaku kerana sikap pejam mata Dr Mahathir yang tidak tegas menanganinya sepanjang 22 tahun pentadbirannya.

Amalan kronisme berlaku pada zaman Dr Mahathir, bahkan, anaknya sendiri dilabel jutawan dan modal itu sering digunakan media Umno untuk mengkritik Dr Mahathir.

“Walaupun dia (Dr Mahathir) tahu orang ini menggunakan wang untuk kepentingan diri, tapi dia pejam mata kerana kroni dan kawan dia. Berapa banyak masa zaman dia,” katanya tanpa menamakan sesiapa yang terlibat.

“Anda hendak betulkan keadaan dan anda bercakap retorik, masyarakat kena bersih. Tetapi orang tahu anda tidak bersih. Macam Dr Mahathir tak sepatutnya timbul, anak anda jadi jutawan,” katanya lagi.

Untuk menzahirkan kecewanya, Zainuddin menerbitkan kompilasi tulisan blognya sejak 2013. Sebanyak 5,000 naskhah diterbitkan dan mula dijual 20 Oktober yang lalu. Buku bertajuk

Pada 2010, hasil kaji selidik majalah Malaysian Business menyenaraikan anaknya, Mokhzani Mahathir tersenarai dalam 20 orang terkaya di Malaysia, lapor Malaysiakini.

Pemimpin Parti Kita Zamil Ibrahim pada 2015 pula pernah menuntut penjelasan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengenai kehidupan mewah anak-anaknya yang dikatakan memiliki kereta mewah berharga berjuta ringgit dan jet peribadi, lapor Mstar Online.

Namun, Dr Mahathir menjelaskan anaknya bukanlah seperti yang disangkakan kerana perlu mereka juga perlu membuat pinjaman kewangan untuk membiayai perniagaan.

Masih setia dengan Umno walau rasa dikhianati

Walaupun kecewa dengan parti terbesar Melayu itu, Zainudin masih setia dan enggan keluar dari Umno mahupun menyertai parti lain.

“Umno, ibarat saya mencintai seorang wanita dengan kasih sayang yang ikhlas. Tapi apabila wanita itu mengkhianati saya. Saya tak boleh hapuskan perasaan cinta. Saya tak sanggup menceraikannya.

“Saya tidak akan menjadi mana-mana anggota parti politik kerana saya tidak ada cita-cita politik. Kewartawanan adalah medan perjuangan saya secara sendirian,” katanya lagi.

Justeru, beliau sebagai bekas wartawan akan sentiasa memberikan kritikan membina demi memastikan kesejahteraan negara sentiasa dijaga.

“Saya masih dengan jiwa kewartawanan saya dan akan terus bersuara. Saya tidak berminat dengan politik mahupun sertai mana-mana parti,” katanya lagi. – 29 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen