MOHAMED Azmin Ali hari ini mengulangi pihaknya tidak akan menubuhkan parti baru sebaliknya kekal dalam PKR dan mencari penyelesaian kepada apa juga masalah yang melanda parti.
Katanya, sebagai timbalan presiden parti, yang terpilih dalam pemilihan parti setahun yang lalu, beliau sedia untuk berunding dengan Presiden Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan perselisihan faham yang ada, jika dipanggil.
“Saya bersedia… saya nak mengajak supaya semua pimpinan dapat bersama dalam usaha satu padukan parti. Saya nak galakkan pimpinan dan akar umbi untuk datang ke depan, untuk bersatu sekiranya ada usaha itu (perbincangan).
“Tidak timbul soal parti baru, kita akan kekal dalam parti ini.
“Memang ada masalah tapi kita cari jalan penyelesaian, ketepikan masalah itu dan (bersatu) untuk majukan parti,” katanya kepada wartawan selepas berucap kepada penyokongnya di sebuah hotel di Kuala Lumpur, malam ini.
Majlis yang diberi nama Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama itu dilihat oleh banyak pihak sebagai “kongres kedua” selepas kongres nasional tahunan PKR di Melaka, yang berakhir beberapa jam sebelumnya.
Awal hari ini, Anwar menafikan program di Kuala Lumpur sebagai “kongres kedua” parti.

Perhimpunan di Kuala Lumpur hari ini berlangsung selepas Azmin dan beberapa pemimpin kanan PKR memboikot kongres tahunan di Melaka setelah hadir separuh hari semalam.
Dalam ucapan lebih kurang 40 minit, Azmin menegaskan beliau dan penyokongnya bukan pengkhianat, seperti yang dibangkitkan oleh sebahagian besar perwakilan semasa berbahas dalam kongres di Melaka.
“Jangan aibkan kita semua. Benarkanlah perbezaan pandangan… perbezaan itu akan kukuhkan parti.
“Tetapi jangan maki dan jangan hina,” katanya dalam ucapan yang bernada keras.
Dalam ucapannya, Azmin kesal digelar pengkhianat setelah dua dekad berjuang membina parti PKR.
Secara simboliknya, perhimpunan ini berlangsung di hotel yang sama tempat PKR dilancarkan sebagai parti politik atas nama Parti Keadilan Nasional pada 4 April 1999.
Sementara itu, menjawab soalan wartawan, Azmin menafikan beliau menyerang Anwar dalam ucapannya.
Jelas beliau, ucapannya tidak menyentuh peribadi sesiapa dan beliau masih berpegang pada prinsip asalnya sebagai ahli parti iaitu mempertahankan presiden.
“Saya tak serang mana -mana peribadi. Saya jelaskan kepada anggota saya, apabila presiden parti berdepan dengan ujian, saya keluarkan kenyataan yang sangat tuntas membela presiden,” katanya. – 8 Disember, 2019.

Komen