Perhimpunan di KL bukan kongres kedua PKR, kata Anwar


Presiden PKR Anwar Ibrahim menjelaskan beliau juga dapat jemputan tetapi terpaksa menolak kerana ada program lain di kediamannya sendiri.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Disember, 2019.

PERHIMPUNAN anggota PKR di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam ini diketuai timbalan presiden Mohamed Azmin Ali bukan “kongres kedua” parti, kata Anwar Ibrahim.

Anwar menjelaskan beliau juga dapat jemputan tetapi terpaksa menolak kerana perlu hadir program yang telah diatur lebih awal di kediamannya.

“Ada cakap-cakap ada kongres lain yang mana itu tidak tepat. Beliau (Azmin) sudah nafikan.

“Saya dijemput untuk hadir majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama.

“Tetapi saya tidak dapat hadir kerana ada program lain di rumah saya. Setiap Ahad malam akan ada majlis, ada sembahyang, ada zikir, sesiapa boleh datang,” kata Anwar, kepada pemberita selepas berakhirnya Kongres Nasional PKR di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Perhimpunan anggota PKR yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara malam ini.– 8 Disember, 2019.

Perhimpunan malam ini dinamakan sebagai Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, yang membariskan pimpinan PKR yang semuanya dilihat dari kumpulan Azmin.

Majlis itu sebelum ini dihebahkan sebagai perhimpunan majlis jamuan makan malam untuk aktivis yang terlibat dengan gerakan Reformasi 1998.

Ia berlangsung di Hotel Reinassance, lokasi PKR dilancarkan pada 4 April 1999, ketika itu dengan nama Parti Keadilan Nasional.

Dalam perkembangan berkaitan, media tengah hari ini mendapat makluman perubahan jadual majlis makan malam berkenaan.

Aturcara yang sepatutnya bermula 6.30 petang dan berakhir 10 malam kini dipendekkan sehingga 8.30 malam saja. Majlis juga dianjak bermula dengan jamuan makan malam pada pukul 5.30 malam.

Aturcara program yang baharu juga tidak meletakkan Azmin sebagai pemidato terakhir sebaliknya Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin.

Azmin kini dijadual berucap menyampaikan taklimat Wawasan Kemakmuran Bersama selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada sekitar 6 petang.

Antara pimpinan lain yang dijadual berucap termasuk timbalan ketua Pemuda PKR Muhammad Hilman Idham, Ketua Wanita PKR Haniza Talha, ahli Majlis Pimpinan Pusat R Sivarasa serta naib presiden Ali Biju dan Chua Tian Chang.

Majlis juga akan mendengar ucapan daripada aktivisi Reformasi antaranya Hishamuddin Rais. – 8 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen