PKR berdepan krisis kepimpinan, kata timbalan pemuda PKR


Diyana Ibrahim Ragananthini Vethasalam

Hilman turut berkata semua orang menyedari insiden buruk yang berlaku di Kongres PKR di Melaka sejak beberapa hari lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Disember, 2019.

TIMBALAN AMK PKR Hilman Idham berkata parti itu kini berdepan krisis kepimpinan dan beliau menyeru ahli parti kembali kepada cita-cita dan prinsip kerajaan Pakatan Harapan.

Hilman turut berkata semua orang menyedari insiden buruk yang berlaku di Kongres PKR di Melaka sejak beberapa hari lalu.

“Kita tidak dapat menafikan bahawa ada krisis kepimpinan yang serius dalam parti,” katanya kepada orang ramai pada majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 malam ini.

Untuk mengatasi krisis ini, beliau menyeru semua anggota untuk kembali mengingati cita-cita dan prinsip PKR supaya parti itu tetap relevan dan terus menjadi harapan rakyat.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Haniza Talha berkata sesebuah parti politik berdepan saat keruntuhan apabila pemimpinnya tidak boleh ditegur – tanda pemimpin itu sudah jadi diktator.

Tanpa menamakan siapa pemimpin itu, Haniza berkata seseorang pemimpin tidak akan dianggap lemah jika mengaku kelemahannya.

“Tidak ada kesalahan mengaku kelemahan. Itu resepi penting. Apabila pemimpin tidak boleh ditegur, itu saat keruntuhan parti kerana orang itu jadi diktator,” katanya.

Dalam ucapannya, Haniza turut meminta ahli PKR bersabar dan bersuara dengan “satu suara.”

Program yang diberi nama Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama di Kuala Lumpur ini bagaimana dilihat oleh banyak pihak sebagai “kongres kedua” selepas kumpulan timbalan presiden Mohamed Azmin Ali umumnya memboikot kongres tahunan di Melaka selepas hadir separuh jalan.

Bagaimanapun Presiden PKR Anwar Ibrahim menafikan program di Kuala Lumpur sebagai “kongres kedua” parti.

Anwar menjelaskan beliau juga dapat jemputan tetapi terpaksa menolak kerana perlu hadir progam yang telah diatur lebih awal di kediamannya.  – 8 Disember, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen