KERAJAAN menyerahkan kepada Felda sama ada mahu menjual atau tidak sahamnya dalam Felda Global Ventures (FGV) Holdings Berhad kepada pihak swasta, kata Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri itu berkata, kerajaan tidak terlibat dalam perbincangan untuk menjual FGV tetapi mungkin melibatkan pihak Felda sahaja.
“Ada rancangan (untuk jual FGV) barangkali antara Felda dengan Syed Mokhtar Albukhary. Itu dia punya kerja, bukan saya punya kerja,” kata beliau merujuk kepada jutawan Bumiputera itu.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melancarkan gedung tekstil terkenal, Jakel di Langkawi.
Kata Dr Mahathir, beliau tidak melihat penjualan FGV kepada pihak lain sebagai satu masalah jika ia boleh mendatangkan keuntungan kepada kerajaan.
“Kalau serah (kepada pihak lain) saya bantahlah, tetapi kalau jual dapat duit banyak kepada kerajaan, kerajaan nak cari duit.
“Apa yang boleh jual, kita jual lah, tinggal kita tidak jual Malaysia sahaja,” tambahnya.
Terdahulu, aktivis Felda Mazlan Aliman menggesa Putrajaya agar tidak menjual FGV kepada pihak swasta kerana ia perlu kekal milik rakyat.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah itu mendedahkan hasrat kerajaan untuk FGV diambil alih oleh Syed Mokhtar.
Dr Mahathir berkata sebahagian syarikat di bawah kerajaan perlu dijual jika tidak membawa keuntungan.
“Soal jualan harta tanah, harta kerajaan memang kita buat selalu. Pasal kita ada banyak tanah dan kita sendiri tak dapat nak bangunkan.
“Dia (FGV) rugi, berjuta (ringgit). Kalau nak jual syarikat rugi, hak milik kerajaan pun, jual lah,” katanya.
Katanya ketika awal penubuhan FGV pada 2007, satu unit saham mencecah RM4 tetapi kini hanya RM1 lebih sahaja.
Keuntungan Felda juga kian merundum kepada RM250 juta setahun walaupun sebelum ini pernah mencapai keuntungan hingga RM1 bilion setahun.
“Apabila ditubuhkan FGV, harga satu unit saham RM4 lebih sekarang ini RM1 lebih sahaja.
“Orang Felda yang berhutang dengan bank untuk beli (saham) sekarang ini rugi. Jadi kita cari jalan supaya dapat balik duit dia (Felda),” katanya. – 8 Disember, 2019.
Komen