EPISOD kekecohan ketika Kongres Nasional PKR di Melaka hujung minggu ini tidak akan menjejaskan kerjasama parti-parti politik dalam Pakatan Harapan (PH), kata Dr Mahathir Mohamad.
Kekecohan yang berlaku hanyalah masalah dalaman PKR, katanya yang juga pengerusi PH.
“Memang akan berlaku perselisihan faham dalam mana-mana kepimpinan pun.
“Tetapi saya yakin, tidak sampai sehingga kita tak dapat mengadakan (kerjasama dalam) PH dan pemerintahan (negara),” katanya kepada wartawan di Langkawi.
Perdana Menteri berada di kawasan parlimennya hari ini untuk satu program ramah mesra bersama ketua-ketua jabatan dan pemimpin PH.
Kongres PKR yang bermula sejak Jumaat lalu dicemari insiden pergaduhan melibatkan sayap Pemuda parti serta pertelagahan antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali.
Semalam, Azmin mengetuai kira-kira 100 perwakilan keluar dari kongres parti. Pada sidang media selepas itu, Azmin mendakwa mereka bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pembahas menggunakan pentas perbahasan di kongres untuk menyerangnya.
Azmin pada sidang media semalam berkata, Anwar tidak boleh bercakap soal peralihan kuasa semata-mata.
“Anda tidak boleh bercakap tentang (isu peralihan kuasa Perdana Menteri) setiap hari, setiap minggu, dan setiap bulan,” kata beliau.
Mengulas berhubung perkara itu, Dr Mahathir berkata beliau tidak akan mencampuri urusan PKR.
“Ini masalah dalaman PKR. Saya tak nak campur tangan.
Tapi dia (Azmin) bagi pendapat baguslah,” jelas beliau. – 8 Disember, 2019.
Komen