BUAT keputusan sama ada mahu kekal atau keluar dari parti, kata Naib Presiden PKR Chang Lih Kang kepada penyokong Timbalan Presiden parti, Mohamed Azmin Ali.
“Saya seru mereka yang berbeza pendapat supaya buat keputusan sama ada mahu kekal atau keluar dari parti,” katanya ketika penutup Kongres Nasional PKR di Ayer Keroh, Melaka hari ini.
“Apa yang terjadi semalam tak boleh diterima. Presiden boleh sabar, tapi saya tidak. Apa lagi yang tak cukup beliau buat?
“Kalau nak tinggal dalam parti, ikut arahan. Tapi kalau nak tinggalkan parti, kita boleh tunjukkan jalan.”
Semalam, pemimpin parti dan sebahagian perwakilan yang menyokong Azmin meninggalkan kongres, dan kebanyakannnya masih tidak hadir pada sesi penggulungan hari ini.
Menurut Chang, tidak adil 24 pemimpin PKR memboikot kongres dan menuduh ucapan dasar Presiden, Anwar Ibrahim membuka laluan kepada perwakilan melancarkan serangan peribadi terhadap pemimpin tertentu dalam parti.
Katanya, Anwar cukup bersabar dengan semua kritikan dan mendengar setiap keluhan dan tuntutan pengkritiknya.
“Tetapi mereka tinggalkan kongres dan menhina parti serta presiden di hadapan media.
“Rakyat sudah bosan dengan kita dan inilah punca kekalahan di (PRK) Tanjung Piai.” – 8 Disember, 2019.
Komen