TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak kelihatan di dalam dewan Kongres Nasional PKR di Ayer Keroh, Melaka hari ini untuk sesi penggulungan.
Atur cara ucapan penggulungan juga diubah daripada jadual asal, tanpa menyertakan ucapan penggulungan timbalan presiden.
Azmin tidak hadir dipercayai kecewa dengan ucapan dasar Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menurutnya membuka ruang sasaran perwakilan untuk menyerang pasukannya, seperti yang dijelaskan dalam sidang medianya semalam.
Semalam, sebahagian perwakilan turut bertindak meninggalkan dewan persidangan kerana tidak puas hati dengan pemilihan barisan pembahas ucapan dasar yang didakwa berat sebelah.
Selain Azmin, antara yang tidak kelihatan pagi ini tetapi dijadual berucap ialah Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju, dan Ketua Wanita Haniza Talha.
Awal hari ini, Azmin memuat naik ke Twitter petikan daripada sidang medianya semalam, yang dilihat menjawab segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya di kongres parti.
“Pengkhianat”. pic.twitter.com/YDEp7fxmYN
— Mohamed Azmin Ali (@AzminAli) December 8, 2019
Semalam pada sidang medianya Azmin berkata adalah tidak adil untuk mana-mana pihak melabelkan mereka sebagai “pengkhianat” setelah mereka berjuang mengukuhkan parti sejak awal penubuhannya.
“Kami sayang parti. Kami bina parti dalam keadaan yang amat sukar. Sekarang bila dah kuat, dah ada kedudukan, orang baru nak halau kami.
“Ini sangat tidak adil… tiba-tiba bila nak sambut 20 tahun kami jadi pengkhianat… kerana pengkhianat inilah parti terbina selama 20 tahun,” katanya semalam.
Sementara itu, dalam ucapan pembukaan, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, ahli parti perlu mempunyai disiplin dalam diri mereka.
“Parti ini parti derita, sebuah parti berlandaskan perjuangan dengan keramat azimat rakyat. Kita perlu ingat sentiasa. Kita bukan parti lahir di istana kita parti yang lahir di jalanan.
“Kita perlu satukan parti kita, memang ada kata berlainan pendapat wujud khilaf, perbezaan, ini parti penuh dinamika dan rencam kepelbagaian.
“Oleh sebab itu, kita perlu jaga parti kita sebaik baiknya, tapi ada batasnya, disiplin, sebagai pengarah komunikasi saya selalu ingatkan semua termasuk diri saya, kita sebagai parti terbesar dalam blok pemerintah kita sentiasa diperhati dan diteliti rakyat,” kata Fahmi.
Setiausaha pengelola kongres Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata, pergaduhan dalam parti sekarang perlu dihentikan dan semua ahli perlu fokus kepada masalah rakyat.
“Cukup-cukuplah bergaduh, cukup-cukuplah merajuk… kita balik ke kawasan, fokus pada masalah rakyat.” – 8 Disember, 2019.
Komen