Subsidi petrol belum pun bermula, rakyat mula merungut 


Sheridan Mahavera

Rata-rata golongan berpendapatan rendah menyatakan subsidi petrol RM12 sebulan tidak cukup untuk menampung kenaikan harga RON95 selepas ia diapungkan bermula tahun hadapan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2019.

HANYA berpendapatan sebanyak RM1,600 sebulan dan mempunyai isteri dan dua anak untuk disara, Arisdin Ismail merupakan antara golongan berpendapatan rendah akan menerima Program Subsidi Petrol (PSP) yang sepatutnya membantu meringankan bebannya.

Di bawah PSP yang akan bermula tahun depan, golongan seperti Arisdin layak menerima RM12 sebulan sekiranya mereka memiliki motosikal bersesaran bawah 150cc atau kereta di bawah 1600cc.

Namun Arisdin nyata kecewa selepas mendapati beliau tidak layak selepas membuat pemeriksaan di laman web PSP kerajaan, https://psp.kpdnhep.gov.my/.

Beliau hanya mampu menggelengkan kepala kerana tidak percaya manakala jirannya Hattan Rosman turut berdepan perkara yang sama.

“Ini sebabnya mengapa semua orang yang saya kenal marah dengan kerajaan,” kata Hattan yang merupakan seorang pesara, yang marah dengan kerajaan persekutuan dan kerajaan Pakatan Harapan Selangor kerana memotong bantuan yang biasa diterima keluarganya.

“Mula-mula mereka potong bantuan yang diterima golongan miskin seperti kami dan kini subsidi yang dijanjikan pun mereka tidak beri,” kata Rosman kepada The Malaysian Insight. 

Kemarahan Rosman dan kekecewaan Arisdin turut diluahkan oleh ramai lagi pengguna golongan sederhana lain daripada 10 keluarga yang ditemu bual The Malaysian Insight di Lembah Klang berhubung PSP.

Malah peniaga kecil turut memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka bimbang kenaikan RON95 akan menjadikan kos perniagaan meningkat lebih tinggi dengan pendapatan yang semakin berkurangan.

Sementara itu, golongan seperti Arisdin merasa ragu yang mereka akan menerima bayaran PSP selepas masalah yang dihadapi mereka untuk mendapatkan bantuan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH).

Kebanyakan golongan berpendapatan rendah langsung tidak tahu bagaimana untuk memohon subsidi petrol. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2019.

Kebanyakan mereka meluahkan rasa marah kerana kerajaan semakin membebankan mereka selepas banyak bantuan dipotong seperti bantuan peralatan dan uniform sekolah, serta perbelanjaan kematian.

Sebaik sahaja PSP bermula, harga petrol RON95 akan diapungkan sama seperti RON97, yang mana harganya berubah setiap minggu.

Kini harga RON95 ditutup pada harga RM2.08 seliter.

Dalam pelaksanaan PSP, pentadbiran Pakatan Harapan berkata subsidi petrol disalurkan kepada mereka yang amat memerlukannya – golongan miskin yang hanya menggunakan kenderaan kecil.

Kaedah semasa yang menggunakan subsidi bahan api untuk menampung harga RON95 bermakna ia turut dinikmati oleh mereka yang memiliki kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi.

Bagi pekerja kilang, Patmanaban Ragavani, beliau sangat lantang mengkritik pelaksanaan PSP.

Beliau sudahpun kecewa dengan langkah kerajaan yang memotong bantuan perbelanjaan pengkebumian yang biasanya diberikan sebelum 2018. Di bawah skim kerajaan Selangor, setiap keluarga layak menerima bantuan RM1,000 untuk kos pengebumian bagi warga emas.

“Isteri saya baru meninggal dunia minggu lalu. Sebelum ini mereka berikan wang untuk pengebumian dan sekarang tidak lagi,” katanya yang berusia 56 tahun dan tinggal bersama anak lelakinya.

“Saya sangat marah dengan kerajaan. Sebenarnya saya turut menyumbang kepada Tabung Harapan untuk bantu kerajaan,” kata Patmanaban yang meninggikan suara ketika ditemubual.

Beliau masih meluahkan kekecewaan apabila diberitahu mengenai jumlah PSP.

“Bagaimana kami nak dapatkannya? Tak ada sesiapa yang maklumkan apa-apa. Bagaimana ia mencukupi? RM12 memang tak cukup. Satu tangki penuh sudah RM8,” katanya.

Janji dimungkiri

Kaji selidik yang dijalankan Ilham centre mendapati, kemarahan susulan pelaksanaan PSP akan berterusan yang akan terus menghakis sokongan terhadap pentadbiran Pakatan.

Walaupun subsidi itu akan disalurkan kepada golongan berpendapatan rendah dalam bentuk bayaran bulanan, persepsi kenaikan harga petrol masih sukar diterima pengguna,” kata ketua penyelidik Dr Mohd Yusri Ibrahim.

“Pakatan tewas dalam perang persepsi. Rakyat tidak peduli apa mekanisme yang digunakan keranaa apa yang mereka lihat ialah harga petrol naik,” kata Mhd Yusri.

Sementara itu, 10 keluarga yang ditemu bual menyatakan mereka pernah dengar tentang PSP namun tiada siapa pun tahu bagaimana cara untuk memohon tahu menyemak sama ada mereka layak menerimanya.

Sembilan daripada 10 yang ditemubual juga merasakan subsidi yang disaurkan kepada mereka tidak akan dapat menampung kenaikan harga petrol.

Mereka hanya mengetahui pautan kepada laman PSP di laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna setelah ditunjukkan oleh The Malaysian Insight

Golongan ini juga bimbang dengan apungan harga RON95 yang akan bermula tahun hadapan akan menyebabkan kos petrol semakin membebankan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2019.

Menurut maklumat di laman berkenaan, hanya mereka yang menerima bantuan kewangan bulanan Bantuan Sara Hidup (BSH) secara automatiknya layak menerima PSP.

Manakala mereka yang memiliki kenderaan namun layak menerima BSH perlu menyemak dan memohon melalui laman web berkenaan.

Seorang penjaja, Ramli Dahlan, 54, mendakwa beliau sendiri melihat bagaimana sistem penyampaian kerajaan tidak efisien dan merasakan tidak semua yang layak akan menerima subsidi berkenaan.

“Saya tahu ramai penduduk dari kampung ini miskin dan hanya melakukan kerja kampung namun, oleh kerana mereka tiada dokumen yang betul, nak dapat BSH pun mereka tak layak,” katanya yang tinggal di Kampung Kenangan.

“Sekiranya kerajaan mahu rakyat mendapatkan subsidi ini, mereka perlu meningkatkan sistem penyampaian.”

Penjual burger Saiful Mat Saad, 45, percaya pendapatan dan perbelanjaan bulanannya akan meingkat dan subsidi yang diberikan sukar untuk mengimbangi kenaikan harga RON95.

“Sekarang setangki penuh petrol, untuk motosikal pun sudah RM7 ke RM8. Isteri saya yang menggunakan motosikal, perlu isi minyak dua kali seminggu untuk pergi kerja. RM12 tak cukup untuk tampung kenaikan harga.” – 4 Disember, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen