DR Mahathir Mohamad mempertahankan mekanisme baharu subsidi bahan api yang menurutnya dapat mengelakkan daripada dinikmati golongan tidak layak.
Perdana menteri berkata subsidi RM30 sebulan itu adalah bantuan tepat kepada golongan berpendapatan rendah B40 yang benar-benar memerlukan bantuan.
Justeru, subsidi yang akan diberikan bermula 2 Januari 2020 itu akan disasarkan kepada golongan B40 untuk seunit kereta sahaja.
“Kita dapati setelah dikaji ada orang di bawah B40 memiliki sehingga enam kereta dan dapat nikmat daripada subsidi yang kita beri daripada minyak.
“Sebab itu sekarang kita beri untuk satu kereta sahaja kalau mereka daripada B40. Kita tak boleh bagi subsidi kepada orang kaya,” kata Dr Mahathir ketika sidang media di Parlimen hari ini.
Katanya, subsidi sedia ada tidak tepat kerana turut dinikmati golongan yang mampu memiliki banyak kereta mewah.
“Kita lihat dalam subsidi lama, mereka yang guna motokar Rolls Royce juga dapat subsidi takkan kita nak sokong.
“Sebab itu sekarang ini kereta di bawah 1,600 cc sahaja dapat subdidi, di bawah B40, untuk satu kereta sahaja,” kata Dr Mahathir lagi.
“Ini bantuan tepat kepada mereka yang perlu bantuan, bukan orang ada Rolls Royce dua, tiga biji pun dapat subsidi daripada kerajaan.” – 8 Oktober, 2019.
MENYUSUL
Komen