Boleh beri idea lantikan Kabinet, tidak semestinya diterima, kata PM


Diyana Ibrahim

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata sesiapa saja bole beri idea tentang rombakan Kabinet, tetapi tidak semua akan diterima. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengalu-alukan sesiapa saja untuk memberikan idea kepadanya, termasuk mencadangkan Anwar Ibrahim dilantik sebagai menteri tugas khas.

Bagaimanapun katanya, tidak semua idea yang diberikan itu akan diterima.

“Di Malaysia kita bebas bersuara, siapa pun boleh buat apa-apa cadangan.

“Saya dengar semua cakap orang… tak semua kita setuju… banyak idea nak rombak Kabinet.

“Inilah kebebasan bersuara,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan penasihat media A Kadir Jasin yang mencadangkan agar Anwar, yang juga presiden PKR dan ahli Parlimen Port Dickson, dilantik ke dalam Kabinet sebagai menteri tugas khas.

“Itu pendapat beliau,” kata Dr Mahathir.

Anwar sebelum ini berkata beliau tidak pernah menawarkan diri untuk menyertai Jemaah Menteri.

Katanya, beliau berpegang pada konsensus yang dipersetujui dalam Pakatan Harapan (PH) untuk memberi ruang sepenuhnya kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri sehingga gilirannya menggantikan beliau apabila masanya tiba.

“Rombakan Kabinet sangat diperlukan bukan saja kerana kadar sokongan terhadap PH menurun, tetapi ada menteri yang jelas tidak menunjukkan prestasi yang baik.

“Perdana menteri boleh membawa Anwar ke dalam Kabinet sebagai menteri tugas khas walaupun Anwar secara berseloroh berkata dia tidak memohon untuk jawatan dalam Kabinet,” tulis Kadir di blognya semalam.

Menurut Kadir, kekalahan luar biasa PH dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai adalah petunjuk Kabinet perlu dirombak kerana rakyat tidak puas hati dengan prestasi beberapa menteri.

Majoriti ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu, yang Kadir salah seorang daripadanya, baru-baru ini menyokong cadangan rombakan Kabinet sebagai reaksi kepada kekalahan PH di Tanjung Piai.

Anwar sebelum ini dinamakan sebagai pengganti Dr Mahathir, yang juga dipersetujui oleh PH sebelum pilihan raya umum yang lalu.

Peralihan kuasa itu bagaimanapun tidak ditetapkan bila akan berlaku. – 3 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen