PENDUDUK Taman Sri Ukay Hillview di Ampang, Selangor mahukan kepastian bila Zuraida Kamaruddin akan menunaikan janjinya iaitu Highland Towers akan dirobohkan dan kawasan itu dijadikan taman.
Mereka berkata menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu hanya membuat kenyataan berkenaan perobohan itu, tetapi hingga kini tidak ada apa yang dilaksanakan.
Penduduk berkata jika perobohan itu tidak berlaku tahun ini, sepatutnya mereka dimaklumkan bila sebenarnya kondominium berkenaan akan dirobohkan.
Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Sri Ukay Shila Kasim berkata kali terakhir mereka dengar tentang isu Highland Towers itu pada Jun, ketika Zuraida menyatakan ia akan dirobohkan.
“Kami menunggu sejak itu, tetapi tiada perkembangan pun. Mereka tidak datang menemui penduduk, tidak ada perkembangan terkini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Zuraida membangkitkan isu itu sekali lagi pada September, berkata tanah di mana tapak kondominium itu akan diambil oleh kerajaan negeri Selangor menerusi Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Beliau berkata pemerolehan itu akan dipercepatkan, dan berharap ia akan disiapkan pada September.
Dua blok menara itu pada awalnya dijadualkan untuk roboh pada Oktober tahun lalu, tetapi ditangguhkan bagi membolehkan kementerian melakukan kajian terhadap struktur blok berkenaan.
The Malaysian Insight cuba menghubungi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tetapi sehingga kini tiada jawapan daripada Zuraida atau pegawai kementeriannya.
Shila berkata mereka tidak memaksa, tetapi penduduk mahukan maklumat perkembangan projek itu.
Katanya, mereka mahu ia diselesaikan kerana masalah keselamatan.
Zuraida sebelum ini berkata tapak itu akan dibangunkan semula sebagai taman dengan memorial bagi mangsa yang terkorban di situ.
Pembangunan semula itu akan dibiayai oleh MPAJ, dengan RM2 juta daripada pemaju kondominium berkenaan.
Beliau berkata tapak itu tidak boleh dibangunkan semula untuk perumahan kerana tanahnya tidak stabil.
Pada 11 Disember, 1993 satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang itu runtuh, menyebabkan 48 terbunuh dan ratusan yang lain cedera.
Dilaporkan tanahnya tidak stabil selepas 10 hari hujan, yang menyebabkan berlaku tanah runtuh.
Penduduk di dua blok yang lain dipindahkan serta-merta selepas kejadian itu.
Tapak kondominium itu terbiar kosong hingga sekarang. – 4 Disember, 2019.
Komen