PENDUDUK Taman Sri Ukay Hillview di Ampang, Selangor mahu kerajaan mempercepatkan proses merobohkan Highland Towers dan memulakan pembangunan semula dengan cepat kerana bimbang akan keselamatan mereka.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini menyatakan bahawa dua blok yang terbiar 26 tahun lepas akibat tanah runtuh akan dirobohkan pada Jun tetapi tidak dilakukan sehingga kini.
Presiden Persatuan Penduduk Taman Sri Ukay Hillview Siti Hendon Chik memberitahu The Malaysian Insight yang bangunan berkenaan akan dirobohkan selepas Hari Raya pada Jun.
“Kami diberitahu bangunan akan dirobohkan selepas raya tetapi masih tak dilakukan.
“Kami harap janji untuk merobohkan bangunan berkenaan akan dibuat tak lama lagi,” katanya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin telah mengutarakan isu berkenaan pada Isnin lepas dan berkata tanah itu diperoleh daripada Kerajaan Selangor melalui Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Beliau berkata pemerolehan itu diperlu dipercepatkan dan berharap ia akan siap dalam bulan ini.
Highland Towers pada awalnya dijadualkan untuk dirobohkan pada Oktober 2018 tetapi ditangguhkan bagi membolehkan kementerian mengkaji struktur bangunan.
Siti Hendon juga menggesa pihak berkuasa untuk berkomunikasi dengan penduduk sekitar kawasan terbengkalai berkenaan kerana keselamatan mereka juga terlibat.
“Kami lebih prihatin dengan keselamatan penduduk sekitar 500 meter dari bangunan berkenaan. Ia akan menjejaskan kawasan kediaman sekitar.
“Kami mahukan taklimat daripada kontraktor yang akan menjalankan aktiviti meroboh dan majlis tempatan,” katanya.
Beliau juga berkata penduduk telah bersetuju kawasan itu akan menjadi taman rekreasi yang perlu dibangunkan semula.
Zuraida berkata kawasan itu akan dibangunkan sebagai sebuah taman rekreasi dengan peringatan bagi 48 mangsa yang maut dalam tragedi tanah runtuh pada 11 Disember 1993.
Tanah runtuh itu menyebabkan satu daripada tiga blok Highland Towers runtuh.
Pembangunan semula kawasan itu akan dibiayai oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya dengan kos RM2 juta dicagarkan oleh pemaju kondominum berkenaan.
Tambah Zuraida tapak itu tidak boleh dibangunkan semula kepada kawasan perumahan kerana tanah di situ tidak stabil. – 7 September, 2019.
Komen