Tahanan Sosma suspek Daesh juga mahu mohon jaminan


Zaim Ibrahim

Empat suspek Daesh yang mengkaji untuk membuat permohonan itu termasuk seorang anggota polis berpangkat lans koperal, Mustaza Abdul Rahman.– Gambar laman web Yadim, 1 Disember, 2019.

EMPAT suspek pengganas Daesh yang kini ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) mempertimbang untuk memohon ikat jamin, kata satu NGO.

Pengerusi Desak Sampai Mansuh (DSM) Mahathir Abdul Rahman berkata, permohonan itu berdasarkan keputusan mahkamah membenar seorang tahanan Sosma memohon jaminan.

Tahanan berkenaan, Adun DAP G Saminathan yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), dibenar memohon jaminan pada Jumaat.

Kejayaan G Saminathan mengemukakan permohonan untuk diikat jamin itu satu petanda positif, bagi tahanan Sosma lain, kata Mahathir kepada The Malaysian Inisght.

“Memang kami mahu cabar. Saya dah maklum kepada lima hingga enam peguam yang bantu DSM untuk melihat, sama ada kita boleh cabar untuk memohon ikat jamin,” katanya.

Jelasnya, peguam akan mengkaji kes tersebut yang melibatkan tiga individu yang sedang dibicarakan dan seorang yang sedang menjalani hukuman.

“Peguam kami sedang kaji, jika boleh maka kami juga akan membuat tuntutan untuk diikat jamin terhadap empat individu (berikut),” katanya.

Empat suspek Daesh yang mengkaji untuk membuat permohonan itu termasuk seorang anggota polis berpangkat lans koperal, Mustaza Abdul Rahman.

Mustaza dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 2017 atas tiga pertuduhan berkaitan kegiatan pengganas Daesh.

Seorang lagi adalah bekas anggota tentera, Nor Azmi Jailani, yang menjalani hukuman penjara lapan tahun tahun berkuatkuasa daripada tarikh tangkap pada 5 April 2015.

Turut dikaji untuk memohon jaminan adalah guru kaunseling, Razis Awang yang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana menyokong dan memiliki imej berkaitan Daesh.

Seorang lagi, Muhammad Izham Razani yang ditahan 22 Nov 2018 kerana disyaki menerima latihan membuat bom di Jogjakarta, Indonesia.

Muhammad Izham masih dibicarakan dan hukuman belum dijatuhkan ke atasnya.

Empat lelaki itu merupakan antara 86 individu yang kini ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia kerana dikaitkan dengan kumpulan Daesh.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata kebanyakan tahanan Sosma berkenaan terdiri dari keluarga susah dan tidak mampu melantik peguam bagi mencabar akta ketika awal perbicaraan.

Malah, mereka juga tidak memohon untuk diikat jamin kerana tidak mempunyai wang yang cukup.

“Majoriti yang ditahan ini adalah golongan marhaen, gaji mereka di bawah RM5,000. Jadi sukar untuk lantik peguam kerana tidak mampu.

“Rata-rata mereka mempunyai lebih daripada satu pertuduhan, dan ini akan memakan kos untuk membayar kepada peguam termasuklah jika perlu membayar jamin.

“Mereka hanya ditawarkan oleh pihak berkuasa untuk mengaku bersalah supaya hukuman diringankan atau perlu berdepan dengan hukuman yang lebih berat jika tidak mengaku bersalah,” kata Mahathir.

Seorang adiknya juga ditahan bawah Sosma, kata Mahathir yang gembira kerana kerajaan membenar permohonan jaminan Saminathan.

Katanya, langkah itu membuktikan kerajaan kini lebih bertimbang rasa terhadap tahanan bawah akta zalim tersebut.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lalu mendapati Seksyen 13 Akta Sosma yang menghalang mahkamah mempertimbangkan perkara itu didapati melanggar Perlembagaan. – 1 Disember, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen