Azmin yang kekal tenang


Chan Kok Leong

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali hanya berdiam diri dan mendengar setiap pandangan yang dilontar terhadap dirinya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2019.

MOHAMED Azmin Ali selalu jarang menonjol diri, kekal tenang dan menunggu peluang menyambar kesempatan yang datang.

Ketika Langkah Kajang dilaksanakan oleh PKR pada 2014 untuk menyingkirkan Khalid Ibrahim dari kerusi menteri besar Selangor, Azmin hanya duduk di tepi sehinggalah beliau dipilih sebagai pengganti menteri besar – mengetepikan presiden parti Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bertanding pilihan raya kecil.

Ketika rakaman video seks yang didakwa melibatkan beliau muncul pada Jun lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu terus kekal tenang dan membiarkan orang lain mempertahankan dirinya.

Selepas mengalahkan Rafizi Ramli untuk mengekalkan jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti yang sengit, beliau terus kekal tenang malah tidak pula datang ke mesyuarat pimpinan dan biro politik parti.

Azmin terus kekal tenang dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Sabtu lalu, ketika beberapa pemimpin parti termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim membidas beliau kerana mengadakan pertemuan  dengan beberapa ahli Parlimen dari Barisan Nasional di kediamannya.

Seorang pemimpin PH, yang hadir dalam mesyuarat itu, memberitahu The Malaysian Insight bahawa Anwar dan dua pemimpin Amanah membangkitkan isu berkenaan dalam mesyuarat dan menyuarakan rasa kurang senang mereka terhadap tindakan Azmin.

Pertemuan Azmin dengan 22 Ahli Parlimen BN dan beberapa lagi dari PKR di rumahnya, dua hari selepas PH kalah teruk dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai, mencetuskan spekulasi mengenai rundingan dengan pihak pembangkang.

“Anwar kata PH tidak boleh ada ‘lone ranger’ yang bertindak sendiri membuat rundingan dengan pihak lain,” kata sumber.

Mesyuarat itu dikatakan suram kerana membincangkan kekalahan di Tanjung Piai, yang disifatkan oleh Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad berpunca akibat tiadanya perpaduan dalam parti itu.

Ketika itulah Anwar mengambil peluang membidas Azmin, kata sumber.

Dr Mahathir memberitahu mesyuarat bahawa PH “nampak tidak bersatu pada masa ini,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

“Katanya, orang menggelar PH kerajaan sepenggal dan kita tidak nampak bersatu. Katanya, walaupun kabinet bersatu dalam beberapa isu, tetapi ada banyak pertikaian antara pemimpin di luar.

“Dr Mahathir kata PH perlu bersatu selepas membuat kejutan mengalahkan BN dalam pilihan raya umum yang lalu,” kata pemimpin PH itu.

Susulan itu, pertemuan sulit Azmin dengan Ahli Parlimen dari Umno dilihat bukti perbalahan dan komplot antara pemimpin PH.

Menurut sumber selepas Anwar bersuara, pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad juga mempersoalkan alasan pertemuan di rumah Azmin itu.

“Khalid bertanya kenapa PH perlu berunding dengan Umno sekarang. Pertemuan itu menunjukkan PH nampak lemah dan tidak bersatu,” kata sumber.

Walaupun wakil rakyat BN berkata mereka berjumpa Azmin berbincang mengenai peruntukan untuk kawasan pilihan raya mereka, pertemuan itu mencetuskan banyak desas-desus.

Satu dakwaan yang disebarkan oleh BN kononnya pertemuan itu untuk menjemput Azmin menyertai mereka. Namun menurut Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman, “itu tidak masuk akal.”

Satu lagi dakwaan kononnya Anwar merancang usul undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir di Dewan Rakyat. Kononnya, untuk “menyelamatkan” Dr Mahathir, Azmin bertemu dengan wakil rakyat BN bagi mendapatkan sokongan mereka sekiranya usul itu berbangkit.

Namun tiada bukti ada mana-mana pihak sedang merancang untuk menyingkirkan Dr Mahathir.

Yang ada hanyalah berita palsu kononnya Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menghantar notis usul mahu Dewan Rakyat membahaskan tarikh peralihan kuasa perdana menteri.

Spekulasi mengenai plot untuk menggulingkan Dr Mahathir bagaimanapun terus jadi tanda tanya kerana Azmin sendiri tidak menjelaskan sebab beliau berjumpa dengan wakil rakyat BN.

Dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, sumber berkata Presiden Amanah Mohamed Sabu juga menegur Azmin.

“Katanya buruk betul untuk minta Umno dan PAS sokong perdana menteri kita. Mohamad juga bertanya apa jadi dengan PH kalau parti itu perlukan sokongan parti lain untuk menyokong perdana menterinya sendiri.”

Seperti sebelum-sebelum ini, Azmin kekal tenang dan hanya mendengar pandangan yang dilontarkan mengenainya.

Minggu depan, apabila PKR berhimpun untuk kongres tahunan di Melaka, banyak pihak akan memerhatikan apakah Azmin juga akan terus kekal tenang. – 28 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen