AHLI Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan beliau menghantar notis usul mahu Dewan Rakyat membahaskan tarikh peralihan kuasa perdana menteri dari Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.
Dalam reaksi di Instagram terhadap laporan media pagi ini, Khairy berkata surat yang menggunakan kepala surat namanya seperti yang tersebar di media sosial hari ini adalah palsu.
“Saya bercakap dengan Setiausaha Dewan Rakyat Roosme Hamzah. Beliau mengesahkan Parlimen tidak terima surat palsu ini,” tulisnya di Instagram.
Jelas Khairy, kepala surat itu palsu kerana kepala surat yang dipakainya secara rasmi hanya bertulis “Ahli Parlimen Rembau”, dan tidak menyertakan namanya di bawah jata negara – seperti dalam surat yang tersebar di media sosial itu.
Khairy juga berkata beliau dimaklumkan oleh Rosmee cop “diterima” pada surat itu juga bukan cop yang diguna oleh pejabat Parlimen.
“Saya minta maaf kerana lambat membuat penjelasan. Saya sedang di luar negara dan berada dalam zon waktu yang berbeza,” tulisnya.
Khairy juga berkata isu peralihan kuasa perdana menteri bukan urusan beliau atau Umno.
Katanya, beliau tidak berminat dengan isu itu dan tidak mahu diheret ke dalam “intrig politik di sebalik tabir” mengenainya.
“Persoalan peralihan kuasa (walaupun mustahak) sepatutnya diselesaikan oleh Pakatan.
“Ia tidak ada kena mengena dengan parti saya atau saya sendiri.
“Saya berminat untuk berbahas dan berbincang mengenai dasar yang boleh membantu rakyat Malaysia yang hidupnya semakin buruk bawah Pakatan,” katanya.
Beliau menyerahkan intrig politik itu kepada mereka yang berminat dengan politik bangsawan.
Awal hari ini, media melaporkan Khairy mengemukakan usul untuk Dewan Rakyat membahaskan tarikh peralihan kuasa perdana menteri. Notis bertarikh 20 November itu dialamatkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat Roosme Hamzah, dan mempunyai cop terima bertarikh 21 November.
“Saya selaku Ahli Dewan Rakyat Rembau membuat usul ini berdasarkan kepada Peraturan 27, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” kata notis itu.
Peraturan 27 Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat adalah mengenai bagaimana ahli Parlimen menghantar pemberitahuan usul. Persidangan terakhir Dewan Rakyat bagi tahun ini akan berakhir pada 5 Disember.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon ketika dihubungi berkata beliau tidak tahu menahu mengenai notis tersebut. Roosme tidak dapat dihubungi.
Khairy sebelum itu pun tidak dapat dihubungi.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, PH menetapkan Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir.
Pemimpin PH beberapa kali menjelaskan perjanjian peralihan itu tidak menetapkan tempoh yang rasmi, termasuk kenyataan ketua setiausaha parti, Saifuddin Abdullah pada Januari lalu.
Anwar dan Dr Mahathir juga beberapa kali menegaskan peralihan kuasa itu akan berlaku, termasuk penegasan yang terbaru selepas mereka berjumpa semalam.
Dr Mahathir sebelum ini membayangkan beliau paling lama tiga tahun lagi jadi perdana menteri, dan sehingga semua masalah yang negara hadapi sejak beliau mengambil alih pentadbiran pada Mei 2018 dapat diselesaikan.
Beberapa pihak, antaranya timbalan Anwar sendiri dalam PKR, Mohamed Azmin Ali menggesa Dr Mahathir kekal perdana menteri sehingga habis mandat PRU14. – 22 November, 2019.
Komen