Saifuddin ulangi kenyataan tiada tempoh masa untuk Anwar ganti Dr Mahathir


Setiausaha Agung Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah berkata kedua-dua pemimpin berkenaan tahu apa yang terbaik untuk dilakukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2019

SETIAUSAHA Agung Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah mengulangi kenyataannya hari ini bahawa tiada tempoh masa rasmi bagi peralihan kuasa daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim. 

Sebaliknya, kedua-dua mereka akan menentukan masa yang sesuai, beliau dipetik Malaysiakini sebagai berkata di Putrajaya. 

“Tiada garis masa, dalam perjanjian (antara parti komponen PH) kita tidak nyatakan garis masa. 

“Sebab kita tidak nyatakan kerana, kita tahu Dr Mahathir dan Anwar lebih memahami perkara itu berbanding orang lain dalam Harapan dan mereka boleh tentukan.”

Ini merupakan kali kedua sejak tahun baru bahawa Saifuddin, yang juga menteri luar, membuat kenyataan ini dan kali pertama ahli kepimpinan pakatan memperbetulkan laporan yang menyatakan tempoh masa dua tahun. 

Sejak pilihan raya umum pada Mei, dilaporkan di bawah perjanjian antara parti komponen Pakatan Harapan, Anwar yang juga presiden dan ahli Parlimen PKR akan menggantikan Dr Mahathir dalam tempoh dua tahun. 

Kedua-dua pemimpin itu berulang kali mengesahkan peralihan itu dalam beberapa siri temu bual dengan media tempatan dan antarabangsa di tengah-tengah spekulasi bahawa wujud komplot dan konspirasi untuk menggagalkannya. 

Pada mesyuarat agung tahunan Bersatu akhir yang diadakan akhir Disember lalu, ahli parti meminta Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai PM sehingga Pilihan Raya Umum ke 15. 

Saifuddin hari ini berkata, PH bagaimanapun tidak pernah membincangkan jika kekurangan tempoh masa bermakna Dr Mahathir akan menamatkan penggal penuh sebagai perdana menteri

Beliau mengulangi bahawa, kedua-dua pemimpin itu “tahu apa yang terbaik untuk dilakukan” dan tidak keperluan untuk tempoh masa. – 3 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen