Pakatan janji tangguh ECRL, selamatkan Felda


Sheridan Mahavera

Ahli Parlimen Kelana Jaya Pakatan Harapan, Wong Chen mengatakan sekiranya pembangkang berjaya menakluk Putrajaya pada PRU14 kelak, projek ECRL akan ditangguhkan dan usaha menyelamatkan Felda akan menjadi keutamaan mereka. Beliau mengetuai Jawatankuasa Bajet PH 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2017.

PAKATAN Harapan (PH) akan menangguhkan serta merta projek kontroversi, Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sekiranya berjaya memegang kuasa selepas pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Kelana Jaya PH Wong Chen berkata gabungan pembangkang tidak yakin projek itu akan memberikan faedah besar ekonomi disebabkan kosnya yang terlalu tinggi sebanyak RM60 hingga 70 bilion, menjadikannya projek keretapi termahal dunia.

“Kami akan pergi kembali ke China dan minta mereka jelaskan kesan berganda kepada kita kerana sehingga sekarang, kami tak boleh justifikasi kosnya,” kata Wong Chen menambah yang penangguhan itu tidak bermakna ia dibatalkan.

Pada masa yang sama, PH akan menghormati perjanjian satu lagi projek keretapi berprofil tinggi, Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, katanya.

“Tetapi kami akan melakukan rundingan semula syarat projek itu sekiranya kami mendapati wujudnya aspek diragui misalnya harga yang melampau dan penipuan,” kata Wong Chen yang akan mengetuai Jawatankuasa Bajet 2018 PH.

Ikrar ini membentuk strategi utama berurusan dengan pelaburan asing dari China, yang menimbulkan cakap-cakap disebabkan projek dianugerahkan kepada mereka berkos tinggi dan wujudnya dakwaan syarat berat sebelah.

Strategi ini adalah sebahagian daripada manifesto ekonomi PH yang merupakan sebahagian daripada manifesto keseluruhan pembangkang dalam usaha meraih sokongan rakyat menjelang kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dasar ekonomi itu didedahkan pada pengumuman bajet alternatif pembangkang untuk 2018.

Landasan ECRL bermula dari Gombak, Selangor merentasi 23 stesyen di Pahang, Terengganu dan Kelantan dan dijangka siap pada 2024.

ECRL adalah projek mega kerjasama China-Malaysia yang merupakan sebahagian daripada inisiatif infrastruktur “One Belt, One Road” yang menyasarkan peluasan ekonomi dan perdagangan rantau ini.

Ia dibiayai oleh pinjaman yang Malaysia ambil daripada Export-Import Bank of China (Exim Bank) dan kebanyakannya akan digunakan untuk membayar China Communications Constructions Company (CCCC), kontraktor utama ECRL.

Kehadiran syarikat milik China dalam beberapa projek infrastruktur mega negara mencetuskan kontroversi sehingga timbul dakwaan pentadbiran Najib Razak sebenarnya menjual negara.

Selain ECRL, syarikat milik negara China juga sedang membina pelabuhan di Melaka bernilai RM43 bilion dan sebuah lagi syarikat tenaga China membeli tapak jana kuasa yang pernah menjadi milik dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Wong Chen mengatakan kerajaan PH tidak akan memberikan projek infrastruktur ekonomi seperti jalan raya, keretapi, pelabuhan dan tapak jana kuasa kepada syarikat asing.

“Kita bukan anti-China tetapi semua projek perlu telus dan dipandu aspek komersial.”

Katanya, daripada mengambil pinjaman dari China dan mengupah mereka sebagai kontraktor untuk membina projek di masa depan, syarikat negara itu akan diminta menjadi rakan ekuiti.

“Dengan itu risiko dikongsi bersama, antara kita dan mereka.”

Felda bergelut dengan pelbagai skandal, daripada soal kepimpinan sehinggalah korupsi melanda agensi pembangunan tanah negara itu. Terletak di lebih 54 kerusi Parlimen ia merupakan bank undi Barisan Nasional, tetapi kemarahan peneroka semakin membara dan PH berharap ia mampu mencetuskan tsunami undi Felda memihak pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2017.

Selamatkan Felda

Antara lain dasar ekonomi PH termasuklah melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), yang bergelut dalam kemelut kewangan sehingga menjejaskan kemampuannya untuk menguruskan 110,000 peneroka dalam skimnya.

Generasi kedua peneroka Felda sudah merungut tentang bayaran tuaian yang tidak konsisten dan hutang mereka yang tidak dijelaskan Felda.

Felda wujud di lebih 54 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia dan kumpulan peneroka adalah kelompok undi penting untuk pemerintah Barisan Nasional.

PH berharap ketidakpuasan hati peneroka Felda terhadap pentadbiran Najib boleh membantu wujudnya tsunami perubahan undi Melayu luar bandar memihak kepada pakatan pembangkang.

“PH menyasarkan mengembalikan kewangan yang baik untuk Felda dan menyerahkan kembali kawalan Felda kepada peneroka,” kata PH dalam manifesto ekonominya.

Ia mencadangkan pemberian pinjaman tanam semula tanpa faedah sehingga RM2,000 sebulan, memperkenalkan skim pelangsaian hutang sehingga 50% dan menubuhkan program tanah pusaka.

Pakatan juga merancang untuk membina bandar Felda yang baru serta meningkatkan kemasukan anak peneroka ke universiti. – 26 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen