Saya hanya dimaklumkan pertukaran KSU semalam, kata Salahuddin


Ravin Palanisamy

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata beliau hanya dimaklumkan yang setiausaha kementeriannya Mohd Sallehhuddin Hassan dipindahkan JPA semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2019.

SALAHUDDIN Ayub berkata beliau hanya dimaklumkan yang setiausaha kementeriannya Mohd Sallehhuddin Hassan dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semalam.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata beliau dimaklumkan oleh JPA bahawa terdapat beberapa perubahan yang berlaku di kementerian dan Sallehhuddin salah seorang daripada mereka yang terlibat. 

“Saya terima notis daripada Jabatan Perkhidmatan Awam bahawa empat hingga lima orang telah dipindah sebagai sebahagian daripada pertukaran. Itu yang diberitahu kepada saya,” katanya.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata beliau tidak dapat memberi komen lanjut kerana tiada apa yang berlaku dalam kementerian dan perubahan adalah sebahagian dari prosedur biasa.

Beliau berkata arahan itu datang daripada ketua setiausaha negara (KSU) dan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Saya anggapnya sebagai prosedur biasa.

“Jika ada pertukaran, ia di bawah bidang kuasa KSU dan Ketua Pengarah JPA. Saya tidak menganggu bidang kuasa mereka,” katanya kepada pemberita.

Semalam The Malaysian Insight melaporkan Sallehhuddin telah ditukarkan ke JPA susulan kontroversi melibatkan tender padi bernilai RM1.4 bilion.

Menurut sumber kerajaan pertukaran mereka berlaku Jumaat lalu, sehari selepas Presiden MCA Wee Ka Sing membangkitkan dakwaan mengenai rundingan terus untuk kontrak berkenaan di Parlimen.

Turut ditukarkan adalah KSU Kementerian Industri Utama Dr Tan Yew Chong, yang berkuatkuasa semalam.

Sumber di kedua-dua kementerian memberitahu The Malaysian Insight, kedudukan dua ketua setiausaha itu digantung sehingga calon yang sesuai ditemui. 

Mohd Sallehhuddin mendapat perhatian susulan aduan seorang anggota Amanah bahawa beliau melakukan sabotaj ke atas menterinya, Salahuddin Ayub dalam kes kontrak RM1.4 bilion itu.

Anggota Amanah itu mendakwa Mohd Sallehhuddin membuka tender baja tanpa pengetahuan menterinya. – 26 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen