KSU ditukar ekoran kes tender padi RM1.4 bilion


SM Amin Lee Chi Leong

Mohd Sallehhuddin Hassan (berbaju hitam) kini ditukar ke Jabatan Perkhidmatan Awam susulan kontroversi melibatkan tender padi bernilai RM1.4 bilion. – Gambar Kementerian Pertanian dan Asas Tani, 25 November, 2019.

KETUA Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Asas Tani Mohd Sallehhuddin Hassan didakwa ditukarkan susulan kontroversi melibatkan tender padi bernilai RM1.4 bilion.

Pertukaran itu dibuat pada Jumaat lalu, sehari selepas Presiden MCA Wee Ka Siong membangkitkan dakwaan mengenai rundingan terus untuk kontrak itu.

“Selepas pendedahan di Parlimen, esoknya terus kena (tukar ke) JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam). Sekarang ini TKSU (timbalan ketua setiausaha) yang tanggung kerja dahulu,” kata sumber.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Mohd Sallehhuddin ditukar ke Jawatan Penempatan Khas JPA.

Turut ditukarkan adalah KSU Kementerian Industri Utama Dr Tan Yew Chong, yang berkuatkuasa hari ini.

Sumber di kedua-dua kementerian memberitahu The Malaysian Insight, kedudukan dua ketua setiausaha itu digantung sehingga calon yang sesuai ditemui.

Mohd Sallehhuddin mendapat perhatian susulan aduan seorang anggota Amanah bahawa beliau melakukan sabotaj ke atas menterinya, Salahuddin Ayub dalam kes kontrak RM1.4 bilion itu.

Anggota Amanah itu mendakwa Mohd Sallehhuddin membuka tender baja tanpa pengetahuan menterinya.

Ahli Amanah itu dilaporkan berkata, tender itu dimenangi oleh satu syarikat.

Nafas kemudiannya merayu kepada MOA dan Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan agar kontrak itu kepada pertubuhan itu.

Terdahulu hari ini, Salahuddin berkata persoalan mengenai kedudukan ketua setiausaha kementeriannya itu perlu dijawab oleh ketua setiausaha negara.

“Itu kena tanya KSN (ketua setiausaha negara). Saya tak ada pengetahuan tentang itu,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad pula mendakwa terdapat usaha dalam kalangan pegawai MOA untuk melakukan sabotaj ke atas Salahuddin melalui pemberian dan pembatalan tender.

Dakwanya, Salahuddin disabotaj kerana pemberian dan pembatalan tender itu dibuat tanpa pengetahuan menteri berkenaan.

Turut ditukar adalah KSU Kementerian Pelancongan Isham Ishak yang bertukar ke Kementerian Pengangkutan manakala Timbalan KSU Kementerian Dalam Negeri Jamil Rakon ditempatkan sebagai KSU kementerian sama. 

Kedua-dua pertukaran itu berkuatkuasa 25 November.– 25 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen