UMNO perlu membina kekuatannya sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang, kata Presidennya Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, kekuatan baharu itu yang terbina bersama-sama Barisan Nasional dan PAS akan menarik perhatian rakyat.
“Bila ada gula, semut akan datang. Jika kita tidak ada gula, semut pun lari,” katanya pada ucapan di Konvensyen Umno Negeri Sembilan yang disiarkan secara langsung hari ini di Facebook.
BN kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14, hanya menjadi kerajaan negeri di Perlis dan Pahang.
BN mula membina semula kekuatannya menerusi siri pilihan raya kecil, terbaru di Tanjung Piai apabila calonnya menang dengan majoriti undi lebih 15,000.
Zahid, yang juga pengerusi BN berkata, kekuatan dalaman Umno perlu dibina secara organik dan tidak dipaksa-paksa.
“Kita perlu membina kekuatan dalaman dan ia tidak boleh dipaksakan kepada ahli.”
Zahid berkata prestasi kerajaan Pakatan Harapan sejak 18 bulan lepas sangat teruk dan rakyat kini mahu BN kembali berkuasa.
“Rakyat menunggu. Bagi mereka 18 bulan seperti terlalu lama untuk BN dan kawan-kawannya dalam Muafakat Nasional untuk ambil alih. 18 bulan seperti 18 tahun,” tambahnya.
Beliau kemudian meminta rakyat menunggu pakatan itu kembali berkuasa, menambah yang ia penantian itu mungkin berakhir tidak lama lagi.
Zahid berkata, PAS bekerjasama Umno kerana kepentingan negara.
Beliau juga menyamakan kerjasama dua parti itu bak penyatuan semula adik beradik. – 24 November, 2019.
Komen
Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Mohamad Iskandar · Ulasan