Pengundi Tanjung Piai marah kerajaan, bukan hanya Dr Mahathir


Sheridan Mahavera

Ilham Centre tidak bersetuju dengan pandangan yang dipromosikan sesetengah pihak bahawa pilihan raya tersebut adalah referendum terhadap Dr Mahathir Mohamad semata-mata. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2019.

KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bukan penolakan terhadap Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri semata-mata, bahkan ia menggambarkan kemarahan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhan, kata penganalisis.

Menurut Ilham Centre, sebuah badan pemikir yang meninjau sentimen PRK baru-baru ini, pengundi menilai kerajaan sebagai sebuah kolektif kepimpinan dan individu bukan hanya kepimpinan satu orang. 

Badan penganalisis itu tidak bersetuju dengan pandangan yang dipromosikan sesetengah pihak bahawa pilihan raya tersebut adalah referendum terhadap Dr Mahathir semata-mata.

Kelompok yang merasakan sedemikian adalah pengkritik Dr Mahathir dari dalam PH, mereka berpendapat perdana menteri yang berusia 94 tahun itu mesti meletak jawatan dan mempercepatkan peralihan kuasa kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Sedangkan penolakan terhadap PH di Tanjung Piai itu berpunca daripada prestasi buruk kerajaan berusia 18 bulan tersebut, ia digambarkan dengan kekalahan sejumlah 15,000 undi majoriti kepada Barisan Nasional.

Prestasi buruk itu tergambar daripada ketidakupayaan kerajaan untuk memenuhi sebahagian manifesto pilihan raya, kata Pengarah Eksekutif Ilham Center, Mohd Azlan Zainal .

“Keputusan (kekalahan PH) itu bukan hanya penolakan terhadap mana-mana individu tetapi terhadap kerajaan PH secara keseluruhan. Ia adalah satu hukuman secara kolektif,” kata Azlan lagi.

“Pengundi marah atas pelbagai perkara tetapi peralihan (dari Dr Mahathir kepada Anwar) bukanlah salah satu daripada sebabnya,” kata Azlan.

Daripada tinjauan mengenai sentimen semasa tempoh kempen pilihan raya itu, Ilham Centre meramalkan bahawa PH akan kalah PRK itu sekurang-kurangnya 16,000 undi, kata Azlan.

Angka tersebut tidak jauh dari margin sebenar berjumlah 15,086 undi yang mengalahkan calon PH, Karmaine Sardini kepada Wee Jeck Seng dari BN.

Ia merupakan kejutan besar selepas kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu, apabila ia berjaya merampas kubu kuat BN dengan hanya 524 undi.

Ilham Center menyifatkan kekalahan PH itu sebagai “kemarahan luar biasa” yang dirasakan pengundi Cina khususnya, terhadap kegagalan kerajaan menangani dasar pendidikan dan ekonomi.

Pengundi marah atas pelbagai perkara tetapi peralihan dari Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim bukanlah salah satu daripada sebabnya, kata Ilham Centre. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2019.

Kemarahan orang Cina

Pengundi Cina terdiri dari 42% pengundi Tanjung Piai, manakala pengundi Melayu membentuk 57%.

PH dianggarkan kehilangan kira-kira 40% undi kaum Cina pada pilihan raya kecil baru-baru ini, berbanding sokongan mereka pada PRU14.

Penganalisis Lim Hong Siang dari badan pemikir Saudara, menyifatkan kemarahan di kalangan pengundi Cina di Tanjung Piai itu berpunca daripada kelewatan PH mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), iaitu sebuah kelayakan pra-universiti dari sekolah swasta Cina.

Faktor yang lain adalah sikap kerajaan yang terus melindungi pendakwah Islam kontroversi Dr Zakir Naik dan kehadiran menteri Pakatan di Kongres Maruah Melayu.

“(Parti komponen PH) DAP telah berjanji sebelum pilihan raya umum bahawa ia akan mengiktiraf UEC. Tetapi ini tidak berlaku,” kata Lim.

Kekecewaan ini kemudiannya menjadi lebih parah apabila keputusan kerajaan untuk memperkenalkan khat kepada murid tahun empat di sekolah vernakular dan menyekat dana Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC), tambah Lim.

Kerajaan telah mengumumkan pendanaan kolej yang diasaskan MCA itu akan disekat sehingga parti komponen BN tersebut melepaskan kawalannya daripada kolej tersebut.

“Keluarga Cina berpendapatan rendah melihat TAR UC sebagai pilihan yang paling sesuai untuk pendidikan tinggi anak mereka memandangkan ramai anak mereka tidak boleh masuk universiti awam kerana sistem kuota berasaskan kaum yang wujud ketika ini.”

Justeru, tidak adil untuk menyifatkan sokongan Cina yang berubah di Tg Piai hanya terarah pada Dr Mahathir sahaja, kata Lim.

“Tidak adil untuk mengatakan bahawa Dr Mahathir perlu letak jawatan kerana Tg Piai. Jika PH memenangi Tg Piai, ia juga tidak adil untuk mengatakan bahawa ini adalah isyarat untuk beliau kekal sehingga akhir penggal pentadbiran PH,” jelasnya lagi

Sementara itu, Azlan pula berkata, kaji selidik juga mendapati lebih daripada 65% pengundi Tg Piai merasakan masalah kos hidup lebih buruk ketika pentadbiran PH berbanding BN.

Hampir 70% responden juga tidak berpuas hati dengan prestasi Putrajaya, manakala lebih daripada 60% tidak berpuas hati dengan pentadbiran Johor. – 23 November, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen