IDENTITI dua lelaki dalam rakaman video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dijangka akan dapat dikenal pasti sebelum akhir tahun ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan, Huzir Mohamed.
Katanya, rakaman video itu sudah dihantar ke sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS) untuk dianalisis bertujuan memastikan kesahihan rakaman dan identiti dua lelaki tersebut.
Huzir juga mendedahkan kertas siasatan kes berkenaan sudah “tujuh lapan kali” dihantar pulang balik ke Pejabat Peguam Negara.
“Kami diminta mendapatkan pandangan kedua daripada sebuah badan bebas,” kata Huzir.
“Beberapa pegawai polis ke AS baru-baru ini untuk mendapatkan analisis baharu dari sebuah universiti yang ada kepakaran.
“Mereka sudah balik. Laporan analisis akan disiapkan tidak lama lagi sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ditanya bila laporan itu akan diterima oleh pasukan polis, Huzir yakin sebelum akhir tahun ini.
“PDRM sangat yakin (keputusan analisis) sebelum hujung tahun ini. Tak lama,” tambahnya.
Pada Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku beliaulah lelaki dalam rakaman itu dan mendakwa Azmin adalah pasangannya.
Azmin menafikan tuduhan itu yang dipertegaskannya berkali-kali fitnah jahat bermotifkan politik untuk menghancurkan masa depannya.
Sebulan selepas penyebaran rakaman itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata siasatan polis mendapat rakaman video itu hampir pasti tulen tetapi sukar untuk dikaitkan dengan mana-mana individu seperti didakwa.
Beliau membuat kenyataan itu berdasarkan maklumat siasatan CyberSecurity Malaysia.
Awal September lalu, beberapa badan masyarakat merayu Yang di-Pertuan Agong campur tangan dalam isu siasatan rakaman video seks itu.
Mereka menyerahkan memorandum dan laporan analisis forensik sebuah badan di United Kingdom ke Istana Negara.
Laporan itu diperolehi oleh Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Lokman Noor Adam yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno. – 20 November, 2019.
Komen