TERLALU banyak isu menyebabkan masyarakat Cina di Tanjung Piai menolak Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil hujung minggu lalu, kata penganalisis.
Menurut mereka, isu daripada kontroversi pembelajaran jawi di sekolah vernakular sehinggalah keputusan Putrajaya untuk menarik dana Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Kolej Utar).
Selain itu juga kegagalan Pakatan Harapan untuk menyediakan pengiktirafan bagi Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), yang merupakan kunci utama bagi manifesto PH.
Berdasarkan angka, sokongan pengundi Cina terhadap PH di kawasan berkenaan telah jatuh daripada 72% kepada 40% pada pilihan raya umum lalu.
Pensyarah Southern University College Thock Kiah Wah berkata. PH pernah mempunyai 90% sokongan masyarakat Cina pada PRU14, dan ia menyebabkan jangkaan tinggi kerajaan PH.
“Bukan sahaja PH gagal tunai janji, apa yang mereka lakukan turut mengecewakan masyarakat Cina. Isu seperti pengiktirafan UEC, memperbaiki ekonomi, isu jawi dan pendirian Dr Mahathir Mohamad berhubung peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim tidak memberikan keyakinan.
“Ditambah pula, bukan sahaja Malaysia Baru PH gagal menjadi kenyataan malah ada yang beranggapan keadaan negara lebih teruk berbanding sebelum ini dan meluahkan kekecewan mereka di peti undi, menyebabkan sokongan merosot secara mendadak,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Sia Si Kean berkata, kekalahan PH di Tg Piai juga merupakan undi protes pengundi yang tidak merasakan banyak perubahan selepas PRU14, dan apa yang kerajaan lakukan sejak pilihan raya 9 Mei hanyalah menyalahkan pembangkang kerana masalah yang dihadapinya.
Nafi peruntukan Kolej Utar
Thock berkata isu peruntukan Kolej Utar juga memberi kesan kepada pilihan raya kecil.
“DAP berkata MCA perlu melepaskan kawalan ke atas Kolej Utar untuk membolehkan institusi berkenaan menerima dana, namun ini mencetuskan kemarahan daripada masyarakat Cina.
“Ini merupakan permintaan yang unabasah, namun ramai antara masyarakt Cina yang mempunyai anak yang belajar di institusi berkenaan atau mereka yang pernah belajar di situ sejak 50 tahun lalu. Jadi langkah kerajaan untuk menafikan hak itu dianggap sebagai hukuman politik,” katanya.
Thock berkata, Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP perlu tampil dan berikan penjelasan yang munasabah, seperti menyatakan ia untuk mengelakkan campur tangan politik dalam institusi pendidikan tinggi. – 18 November, 2019.
Komen