KETIKA kempen rasmi bermula di Tanjung Piai, Pakatan Harapan (PH) bimbang peralihan sokongan Cina, bank undi terbesarnya akan menyebabkan mereka tewas dalam pilihan raya kecil (PRK) itu.
Pegawai kempen PH bekerja lebih masa untuk membendung kehilangan sokongan yang mungkin hingga 15% kerana dasar negara berkenaan isu pendidikan dan ekonomi.
Kejatuhan jumlah sokongan mungkin dalam bentuk undi untuk PH beralih ke parti-parti pembangkang MCA atau Gerakan, atau menerusi keputusan tidak mahu mengundi langsung, kata pegawai berkenaan kepada The Malaysian Insight.
Bagi pengundi kebanyakan Cina di Pekan Nanas, bandar di mana penduduk kebanyakannya terbabit dalam industri minyak sawit, mereka marah berhubung kejatuhan harga komoditi itu.
Sementara yang lain tidak berpuas hati dengan bagaimana PH mengendalikan isu pengajaran khat kepada murid sekolah vernakular Tahun Empat.
Satu lagi sebab ialah populariti calon pembangkang Wee Jeck Seng daripada Barisan Nasional, yang memegang kerusi Parlimen itu selama dua penggal sebelum PRU14.
Badan pemikir Institut Darul Ehsan berkata pada PRU14, 64% pengundi Cina di kawasan itu menyokong calon PH, Md Farid Md Rafik.
Pengundi Cina membentuk 42% daftar pengundi kawasan itu, sementara Melayu 57% dan selebihnya 1%.
Keputusan PRU14 di Tanjung Piai antara kemenangan yang mengejutkan dalam pilihan raya bersejarah itu kerana kawasan berkenaan kubu kuat untuk MCA dan Umno.

Pada PRU13, Wee menang kerusi itu dengan 5,457 undi majoriti dan pada PRU12, beliau memperoleh 12,371 undi majoriti.
“Kita tahu peralihan antara pengundi Cina akan berlaku tetapi kita berharap ia akan hanya antara 5% dan 10%,” kata Darwis Saleh, yang bertanggungjawab dalam operasi pilihan raya PH di Pekan Nenas Timur.
Pekan Nenas Timor satu daripada 11 pusat daerah mengundi (PDM) dengan jumlah pengundi Cina yang ramai di Tanjung Piai. Pada PRU14, 71% daripada 3,200 undi di PDM itu diperoleh PH.
“Jika undi beralih antara 5% dan 10%, kita berharap ia dapat diimbangi dengan peningkatan jumlah undi Melayu,” kata Darwis yang juga ahli parti komponen PH, Bersatu.
“Lebih daripada jumlah akan menyukarkan untuk kita,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Penganalisis politik Kamarulbahrin Zahid berkata bagi membolehkan ia menang, PH perlu memastikan paras sokongannya dalam kalangan pengundi Cina tidak jatuh di bawah 60% hingga 63%.
Ia juga perlu memastikan sekurang-kurangnya 65% pengundi Cina keluar mengundi, bermakna mereka yang bekerja di luar Tanjung Piai perlu dipujuk untuk pulang, kata Kamarulbahrin dari Institut Darul Ehsan.
Personaliti faktor penting
Seorang pegawai dalam jentera pilihan raya PH di Kampung Kukup Laut, perkampungan nelayan Cina yang popular, berkata sukar untuk mendapatkan jumlah tinggi pengundi Cina keluar mengundi.
Pegawai itu berkata peluang hanya “50-50” untuk gabungan itu mampu mendapatkan majoriti undi Cina, berbanding 64% diterimanya pada PRU14.
Perkampungan itu sebahagian daripada PDM Bandar Permas Kechil dan pada PRU14, lebih 50% undinya untuk PH.
“Kali ini ramai pengundi Cina yang bekerja di luar mungkin tidak pulang untuk mengundi. Mereka marah dengan PH. adi kita perlu bekerja keras untuk menambah sokongan Melayu,” katanya yang enggan dinamakan.
Dalam temu bual bersama penduduk Cina, The Malaysian Insight mendapati sejarah perkhidmatan Wee adalah kelebihan berbanding calon PH, Karmaine Sardini dan calon-calon lain yang bertanding pada PRK Tanjung Piai.
Selain Wee, calon lain ialah Naib Presiden Wanita Gerakan Wendy Subramaniam, 38; Presiden Berjasa Badrulhisham Abdul Aziz, 56; wakil Gabungan Teksi SeMalaysia Faridah Aryani Abd Ghaffar, 43; dan calon bebas Ang Chuan Lock, 39.
“Saya akan sokong Wee. Dia anak tempatan, dia banyak membantu. Sebarang aduan, dia akan selesaikan serta-merta,” kata penjual gerai Tan Kian Guan di Pekan Nenas.
“Calon PH, saya kenal dia. Dia ketua bahagian (untuk Bersatu). Tetapi dia tidak pernah datang Pekan Nenas. Masa pilihan raya saja nampak dia di sini.”
Pesara Lum Kee Sing, 73, berpendapatan Gerakan akan mengambil undi daripada MCA tetapi beliau akan menyokong Wee.
“Saya akan sokong Wee kerana dia tolong orang sini,” kata penduduk Pekan Nanas itu. – 6 November, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen