Mahu Parlimen bubar, tetapi tak akan bentang undi tak percaya PM, kata Zahid


Ravin Palanisamy

Keputusan Tanjung Piai bukti rakyat sudah menolak Pakatan Harapan, kata Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2019.

WALAUPUN pendirian pembangkang jelas mahukan Parlimen dibubar selepas kekalahan teruk Pakatan Harapan di Tanjung Piai, mereka tidak akan membentangkan usul undi tidak percaya kepada Dr Mahathir Mohamad, kata Ahmad Zahid Hamidi.

“Itu pendirian semua wakil rakyat pembangkang. Bagi kami, apa yang berlaku di Tanjung Piai adalah mesej, dan mesej itu perlu difahami sejelasnya,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Presiden Umno itu bagaimanapun menjelaskan pembangkang tidak akan membentangkan usul undi tidak percaya kepada perdana menteri.

“Bukan daripada kami (usul) kerana kami percayakan demokrasi, dan proses demokrasi perlu diterjemahkah ke dalam Perlembagaan dan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya perlu diikuti,” kata bekas timbalan perdana menteri era Barisan Nasional itu.

Tambahnya, beliau bersetuju dengan Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa Tanjung Piai adalah referendum penolakan rakyat terhadap PH dan mendesak Parlimen dibubarkan untuk pilihan raya mengejut diadakan.

“Walaupun ini bukan referundum seluruh negara, ia masih referundum kecil,” katanya yang juga pengerusi BN.

Semalam, Ismail mendesak Parlimen dibubarkan dan pilihan raya mengejut diadakan kerana dakwanya kerajaan PH sudah hilang keyakinan rakyat selepas kekalahan teruk di Tanjung Piai.

Ismail berkata pilihan raya kecil itu adalah bukti referendum rakyat terhadap pakatan pemerintah dan keputusannya menunjukkan rakyat menolak mereka.

“Oleh itu jika kerajaan benar-benar sensitif dan mendengar suara hati dan nurani rakyat, kerajaan tiada pilihan lagi selain daripada membubarkan parlimen.

“Biarlah rakyat menentukan masa depan negara ini,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.

Katanya lagi, sentimen pengundi Tanjung Piai bukan khusus untuk kawasan itu, tetapi dikongsi bersama oleh rakyat Malaysia seluruh negara.

Tambahnya, ini terbukti apabila PH juga ditolak oleh pengundi Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau pada pilihan raya sebelum ini.

“Mesej rakyat amat jelas iaitu mereka tidak lagi percaya kepada kerajaan PH untuk menerajui pemerintahan negara ini.” – 18 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen