Bubar Parlimen, adakan pilihan raya, kata ketua pembangkang


Ismail menyatakan bahawa Pakatan membuat janji dan mengumumkan peruntukan di kawasan itu semasa kempen namun tetap gagal memenanginya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2019.

KERAJAAN Pakatan Harapan harus membubarkan Parlimen untuk pilihan raya diadakan kerana gabungan politik kerajaan telah kehilangan keyakinan rakyat selepas kekalahan di Pilihan Raya kecil (PRK) Tanjung Pia, kata Ismail Sabri.

Ketua pembangkang itu berkata keputusan PRK Tanjung Piai adalah referendum rakyat terhadap Putrajaya dan keputusannya adalah rakyat menolak pentadbiran Pakatan.

“Oleh itu jika kerajaan benar-benar sensitif dan mendengar suara hati dan nurani rakyat, kerajaan tiada pilihan lagi selain daripada membubarkan parlimen.

“Biarlah rakyat menentukan masa depan negara ini.” kata Naib Presiden Umno itu dalam satu catatan di Facebook hari ini.

Ismail menyatakan bahawa Pakatan membuat janji dan mengumumkan peruntukan di kawasan itu semasa kempen namun tetap gagal memenanginya.

“Walaupun menteri-menteri PH turun untuk memberikan janji-janji manis namun rakyat Tanjung Piai sudah tidak mempercayai PH lagi.

“Bagi mereka cukuplah sekali ditipu, mereka tidak rela ditipu secara berterusan lagi,” katanya dalam hantaran tersebut.

Ismail berkata sentimen di kalangan pengundi di Tanjung Piai tidak unik di kawasan Johor sahaja, tetapi dirasai di seluruh negara.

Beliau berkata PH telah ditolak sejak tiga PRK di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

“Mesej rakyat amat jelas iaitu mereka tidak lagi percaya kepada kerajaan PH untuk menerajui pemerintahan negara ini,” katanya. – 17 November, 2019. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen