PKR belum bincang kerusi Parlimen Batu, kata Anwar


Zaim Ibrahim

Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini berkata sekiranya perkara itu perlu dibincangkan, ia mesti dibangkitkan mengikut saluran parti yang betul iaitu dalam mesyuarat. – Gambar The Malaysian Insight, 16 November, 2019.

PKR belum memutuskan kedudukan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran, kata Anwar Ibrahim, selepas Naib Presiden parti Chua Tian Chang yang dinafikan hak bertanding dalam pilihan raya lalu disahkan tidak pernah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Presiden PKR berkata sekiranya perkara itu perlu dibincangkan, ia mesti dibangkitkan mengikut saluran parti yang betul iaitu dalam mesyuarat.

“Setakat ini dalam pertemuan saya yang terakhir (dengan) Tian Chua, tak dibangkitkan.

“(Perkara itu) boleh dibincangkan dalam saluran parti, tak perlu keruhkan suasana,” kata beliau kepada wartawan selepas Konvensyen PKR Kedah dan Perlis di Kulim, hari ini.

Jelas Anwar lagi, beliau sudah berhubungan dengan Prabakaran dan Tian Chua tetapi keputusan mengenainya hanya akan dibuat selepas mesyuarat.

“Saya tidak mahu buat keputusan muktamad. Saya ada berjumpa dengan Prabakaran dan berhubung dengan Tian Chua.

“Tetapi biar rundingan (dilakukan) mengikut saluran parti… (iaitu) mesyuarat.”

Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu, memutuskan Tian Chua tidak pernah hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Mahkamah bersetuju dengan keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur dan Shah Alam yang memutuskan bahawa kelayakan dan hak pemohon Tian Chua untuk bertanding tidak terjejas kerana hukuman denda RM2,000 yang dikenakan terhadapnya pada pilihan raya yang lalu.

Susulan keputusan itu, 14 badan masyarakat yang bergiat di kawasan Batu mendesak Prabakaran letak jawatan bagi membuka jalan kepada Chua diangkat sebagai ahli Parlimen.

Chua merupakan ahli Parlimen dua penggal mewakili Batu sejak 2008, sebelum ini menafikan beliau ada kaitan dengan 14 badan masyarakat itu.

Namun, Prabakaran berkata beliau tidak akan mengabaikan mandat yang diberi oleh rakyat kepadanya sekerat jalan.

Dalam pilihan raya umum pada Mei 2018, Prabakaran yang bertanding sebagai calon bebas direstui oleh PKR selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyekat Chua jadi calon.

Semalam, kenderaan Prabakaran dibaling telur sehari selepas beliau menegaskan tidak akan mengosongkan kerusi itu.

Bagi Anwar, semua pihak perlu menghormati Prabakaran kerana jawatan beliau itu adalah hasil mandat rakyat.

“Prabakaran dapat mandat (daripada rakyat) jadi kita harus hormat, Tian Chua pula pemimpin parti yang penting, utama. Oleh yang demikian perkara ini boleh dirundingkan.” – 16 November, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen