KERETA Ahli Parlimen Batu P Prabakaran dibaling dengan telur, lapor Malaysiakini, sehari selepas beliau menegaskan tidak akan mengosongkan kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya umum lalu.
Malaysiakini melaporkan Prabakaran membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku di belakang sebuah restoran di Jalan Ipoh malam tadi.
“Saya membuat laporan ini atas kerisauan keselamatan saya terancam terutamanya dalam keadaan isu-isu semasa sekarang ini,,” katanya dalam laporan polis yang dipetik portal berita itu.
Beliau membuat laporan ibu pejabat polis Sentul.
Kedudukan Prabakaran di kerusi itu berbangkit selepas mahkamah minggu lalu memutuskan Naib Presiden PKR Chua Tian Chang atau Tian Chua sebenarnya tidak hilang kelayakan bertanding pilihan raya.
Susulan keputusan mahkamah itu, 14 badan masyarakat yang bergiat di kawasan Batu mendesak Prabakaran letak jawatan bagi membuka jalan kepada Chua diangkat sebagai ahli Parlimen.
Chua, ahli Parlimen dua penggal mewakili Batu sejak 2008, sebelum ini menafikan beliau ada kaitan dengan 14 badan masyarakat itu.
Dua persatuan yang dinamakan dalam memorandum itu juga kemudian menafikan mereka terlibat membuat desakan tersebut.
Dalam reaksinya kepada desakan supaya letak jawatan, Prabakaran berkata beliau tidak akan mengabaikan mandat yang diberi oleh rakyat kepadanya sekerat jalan.
Dalam pilihan raya umum pada Mei 2018, Prabakaran yang bertanding sebagai calon bebas direstui oleh PKR selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyekat Chua jadi calon.
Pengundi di Batu yang ditemui oleh The Malaysian Insight mengaku mereka berbelah bahagi antara Prabakaran dan Chua. – 16 November, 2019.
Komen