PERBAHASAN sama ada pilihan raya kecil perlu diadakan atau tidak di Parlimen Batu selepas mahkamah memutuskan bahawa Chua Tian Chang layak dan berhak bertanding selepas kelayakannya dinafikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu hangat apabila beliau kini layak bertanding semula.
Beberapa pengundi kawasan itu ditemui The Malaysian Insight mengatakan bahawa Ahli Parlimen Batu ketika ini, P. Prabakaran, 23, harus dibenarkan menyelesaikan penggalnya.
Mereka berkata beliau telah terbukti bekerja keras, sementara wujud juga yang merasakan bahawa Prabakaran terlalu muda. Sementara Chua, yang lebih dikenali sebagai Tian Chua, akan lebih berkesan jika beliau menyandang kerusi itu semula.
Penduduk Bandar Baru Sentul, K. Saraswathi, 48, percaya bahawa Prabakaran melakukan pekerjaan yang bagus di kawasan itu.
“Kami lihat dia jaga mangsa kebakaran.
“Dia secara peribadi melawat keluarga dan pastikan mereka mendapat rumah, dia adalah seorang wakil rakyat yang turun padang,” katanya.
Pengurus pemasaran itu juga merasakan bahawa Prabakaran harus dibenarkan untuk menyelesaikan perkhidmatannya.
“Kami lihat Tian Chua tetapi hanya semasa acara. Kami percaya bahawa pilihan raya kecil tidak perlu dan membuang masa.”
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Chua Tian Chang - yang lebih dikenali sebagai Tian Chua - layak bertanding dalam pilihan raya.
Hakim Mariana Yahya dalam penghakimannya bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam bahawa Tian Chua layak dan berhak untuk bertanding dan tidak terjejas dengan denda RM2,000 yang dikenakan terhadap beliau.

Menurut Mariana, seorang ahli Parlimen hanya akan kehilangan hak dan kelayakan untuk bertanding jika denda itu berjumlah RM2,001 atau lebih.
Tian Chua ketika ditanya memberitahu The Malaysian Insight beliau tidak mahu mengulas mengenai kawasan Batu, tetapi kini memberi tumpuan kepada PRK Tanjung Piai.
Sementara itu, Prabakaran berkata dalam satu kenyataan bahawa beliau tidak akan tunduk kepada desakan untuk beliau melepaskan kerusi yang disandangnya. Beliau berikrar untuk terus berkhidmat kepada rakyat walaupun mendapat tekanan daripada 14 kumpulan itu.
Eksekutif bank Marcus Kumar, 37, berpendapat bahawa walaupun Prabakaran dilihat bercita-cita tinggi, beliau bagaimanapun dilihat tidak banyak melakukan usaha untuk membangunkan golongan belia di kawasan itu.
“Perlu ada hubungan dengan belia. Apa yang kurang (di sini) ialah program belia.”
Kumar berkata walaupun Tian Chua dilihat lebih berkesan sebagai ahli Parlimen, beliau masih mahu Prabakaran menamatkan penggal perkhidmatannya.
“Kami mengundi dia, jadi kita perlu beri peluang kepadanya terlebih dahulu. Membazir untuk adakan pilihan raya kecil pada waktu ini.”
Pengurus hartanah Vincent Yap, 49 dari Taman Wahyu berkata Prabakaran dilihat aktif di sekitar kawasannya.
“Dia telah secara aktif mendengar masalah-masalah di sini dan tangani masalah kebersihan dan jalan berlubang.”
Yap berkata walaupun Tian Chua mempunyai hak untuk bertanding, Prabakaran harus dibenarkan untuk membuktikan prestasi beliau sehingga pilihan raya akan datang.
“Kenapa membazirkan wang pada pilihan raya kecil, gunakan dana untuk bantu rakyat, warga tua dan ibu tunggal perlukan bantuan.”

Penduduk Sentul Bahagia, Abraham Anathakumar, 70, berkata beliau sentiasa mengundi Tian Chua tetapi terpaksa menukarnya apabila beliau tidak layak bertanding.
“Sejak pilihan raya kita belum pernah dengar atau lihat Prabakaran.
“Kami tidak pasti jika dia sedar, keadaan jalan raya buruk dan isu jalan berlubang mesti ditangani.”
Ananthakumar berkata bahawa beliau merasa bahawa Tian Chua lebih berkesan dalam menangani masalah penduduk Batu.
“Jika kita mengundi orang itu, kita mesti didengari.
“Sekiranya ada pilihan raya kecil, kita akan undi Tian Chua,” katanya.
Pengamal bebas perhubungan awam R. Marguerite, 44, pula mengatakan bahawa Parabakaran terlalu muda dan tidak berpengalaman.
“Saya tidak mengatakan bahawa dia tidak boleh melaksanakan tugas, tetapi dia tidak nampak tugasnya besar untuk menjaga kawasan.
“Banyak isu yang melibatkan akses warga emas, pengangkutan dan keselamatan yang perlu ditangani.”
Marguerite berkata Tian Chua harus kembali kerana beliau mempunyai banyak visi untuk kawasan itu.
“Saya fikir perlu untuk pilihan raya kecil jika khidmatnya dalam jangka masa yang panjang, tidak akan ada apa-apa perbezaan kerana isu-isu masih wujud di sini.”
Tian Chua, yang merupakan ahli Parlimen dua penggal, tidak dibenarkan bertanding dalam PRU14 kerana beliau didakwa dikenakan denda sebanyak RM2,000 oleh mahkamah.
Prabakaran, yang merupakan pelajar undang-undang ketika itu, bertanding sebagai calon bebas mendapat sokongan kuat dari Tian Chua dan pemimpin Pakatan Harapan yang turut menyertai kempennya.
Beliau kemudian memenangi kerusi itu dalam pertandingan empat penjuru dengan memperoleh majoriti 24,438 undi berbanding saingan utamanya daripada Barisan Nasional, Dominic Lau.
Pada bulan Mei 2018, beliau muncul sebagai ahli Parlimen termuda yang pernah dipilih di Malaysia mengumumkan menyertai PKR selepas memenangi kerusi tersebut. – 15 November, 2019.
Komen
Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Faizal Jumadi · Ulasan