NAIB Presiden PKR Chua Tian Chang atau Tian Chua menyelar tindakan baling telur ke atas kereta milik Ahli Parlimen Batu P Prabakaran, malam semalam.
Beliau turut meminta Prabakaran, ahli parlimen termuda pada umur 22 tahun itu, bersabar menghadapi dugaan sebagai wakil rakyat.
“Saya tidak setuju dengan siapa-siapa yang guna cara ini. Apa pun biar polis siasat.
“Apa pun inilah dugaan kerja sebagai wakil rakyat. Dulu apa saja kita tak lalui,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Tambah Chua, seseorang wakil rakyat sememangnya akan berhadapan dengan pihak yang tidak menyokong.
“Dulu sebelum saya menang (Parlimen) pun, ada macam-macam dugaan. Ada tak sambut kita, ada tak bagi masuk lawat kawasan.
“Apa pun saya harap semuanya okay sahaja,” kata bekas ahli Parlimen Batu itu.
Chua adalah ahli Parlimen Batu selama dua penggal selepas pilihan raya umum 2008 dan 2013.
Chua mengulas insiden kereta Prabakaran yang diletak di belakang sebuah restoran di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dibaling dengan telur, malam tadi.
Prabakaran membuat laporan polis berhubung kejadian di Ibu Pejabat Daerah Sentul.
Dalam laporannya beliau tidak mengesyaki kejadian itu angkara siapa atau membabitkan hal politik, apatah lagi kerana kawasan berkenaan tiada kamera litar tertutup.

Pihak polis mengesahkan menerima laporan Prabakaran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas jenayah khianat yang menyebabkan kerugian lebih RM25.
Kejadian malam tadi berlaku selepas Prabakaran menegaskan tidak akan mengosongkan kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya umum lalu.
Kedudukan Prabakaran dan kerusi Parlimen Batu jadi perhatian selepas mahkamah minggu lalu memutuskan Chua sebenarnya tidak hilang kelayakan bertanding pilihan raya.
Susulan keputusan mahkamah itu, 14 badan masyarakat yang bergiat di kawasan Batu mendesak Prabakaran letak jawatan bagi membuka jalan kepada Chua diangkat sebagai ahli Parlimen.
Chua sebelum ini menafikan beliau ada kaitan dengan 14 badan masyarakat itu.
Dalam pada itu Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata perbuatan khianat baling telur kepada ahli parlimen tidak sepatutnya berlaku.
Beliau berharap semua pihak dapat menghormati Prabakaran yang dilihat komited sebagai ahli parlimen meskipun masih muda.
“Kita perlu sentiasa berhati-hati dan jangan terpedaya. Janganlah ada mana-mana pihak mengambil kesempatan.
“Memang dia (Prabakaran) masih muda tetapi saya lihat sewaktu bermesyuarat beliau faham isu-isu di kawasan. Dia memang pro aktif sebagai wakil rakyat,” katanya lagi. – 16 November, 2019.
Komen