Tanjung Piai memilih hari ini


Chan Kok Leong

Lebih 50,000 orang akan keluar mengundi hari ini di 27 pusat pengundian sempena PRK Tanjung Piai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 November, 2019.

LEBIH 50,000 pengundi akan membuat penentuan hari ini sama ada Pakatan Harapan kekal mewakili Tanjung Piai atau Barisan Nasional merampas semula kerusi Parlimen terlepas dari penguasaannya dalam pilihan raya umum lalu.

Selepas 14 hari kempen, pengundi akan membuat pilihan – seorang daripada enam calon yang bertanding.

Kerusi Parlimen itu ditandingi calon PH Karmaine Sardini, calon BN Wee Keck Seng, Wendy Subramaniam dari Gerakan, Badrulhisham Abdul Aziz dari Berjasa dan dua calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pengundi akan mula mengundi pada 8 pagi di 27 pusat pengundian. Selepas pengundian ditutup pada 5.30 petang, penjumlahan undi akan dibuat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Pontian.

Pada Selasa, 225 pengundi awal mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian.

Suruhanjaya Pilihan Raya menjangkakan keputusan diketahui menjelang 10 malam.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Najib Razak dan anggota exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris menjadi bintang dalam ceramah terakhir PH di Pontian malam tadi.

Ceramah yang diketuai Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan menampilkan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda Bersatu Syed Sadiq Syed Abdul Rahman dan Lim Kit Siang dari DAP itu, membelasah dua pemimpin Umno tersebut.

“Saya terkejut tengok Najib mempersoalkan Pakatan melantik seorang keturunan Cina untuk jawatan menteri kewangan,” kata Syed Saddiq.

“Ini bukan kali pertama seorang Cina dilantik menteri kewangan. Bapa Najib, Razak dan perdana menteri pertama kita Tunku Abdul Rahman kedua-duanya melantik Tan Siew Sin sebagai menteri kewangan,” kata menteri belia dan sukan itu.

Jelas beliau, Pakatan tidak membuat pelantikan berdasarkan kaum tetapi atas dasar integriti.

“Siapa curi duit dari Mara, Felda dan Tabung Haji? Umno atau Lim Guan Eng?”

Muhyiddin yang juga pengarah pilihan raya berkata pilihan yang ada pada pengundi di Tanjung Piai tidak susah.

“Kalau tidak mahu Najib atau BN memerintah semula, atau tidak mahu rasuah, undi untuk Karmaine,” katanya.

Liew Chin Tong dari DAP pula berkata jalan di hadapan bersama PH ialah kesederhanaan.

“Kemenangan di sini (Tanjung Piai) akan menghantar mesej ke seluruh negara bahawa politik perkauman, politik berasaskan penipuan ditolak,” kata timbalan menteri itu.

Walaupun berdepan kes mahkamah, Najib muncul sebagai penceramah utama di pentas Muafakat Nasional BN-PAS di Kampung Lubuk Sawah pada malam kelmarin.

Dalam ceramah itu, Najib berkata: “Di mana letaknya maruah Melayu kalau Menteri Kewangannya DAP (Lim Guan Eng)?”

Rakaman video petikan ceramah itu bersama satu ucapan lama Wan Muhammad Azri menggesa hak mengundi orang bukan Melayu dihapuskan jika BN memerintah dimainkan dua kali di pentas ceramah PH malam tadi. 

Sementara itu, dalam ceramah akhir BN di Kampung Peneruk, Najib berkata kemenangan pembangkang di Tanjung Piai akan menjadi langkah awal untuk mereka kembali ke Putrajaya.

“Kita hendak balik ke zaman Barisan Nasional. Kita sudah bermula di Cameron Highlands, turun ke Semenyih dan Rantau. Angin yang sama akan sampai ke hujung benua Asia Tanjung Piai,” katanya.

Katanya, kalau jadi kerajaan semula, BN akan menghidupkan kembali bantuan untuk rakyat seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Beliau juga mengingatkan kepimpinan BN lebih berwibawa mentadbir negara berbanding barisan kabinet PH yang ada pada hari ini. – 16 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen