Najib tunjuk siapa bos dalam ceramah mega BN


Chan Kok Leong

Najib Razak menenggelamkan semua yang lain termasuklah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 November, 2019.

MALAM tadi, Najib Razak membuktikan siapa bos dalam Umno apabila menenggelamkan semua yang lain termasuklah Presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam ucapan selama hampir tiga puluh minit, Najib berjaya membuatkan ribuan penyokong terpaku mendengar beliau mengecam Pakatan Harapan dalam Ceramah Mega Muafakat Nasional Barisan Nasional-PAS di Kampung Lubok Sawah, Pekan Nanas, Johor. 

Setiap kali pengacara Ahmad Maslan menjeritkan “Malu apa?”, hadirin bergempak gempita menyahut “Bosku”.

Keputusan penghakiman kes SRC International yang menghendaki beliau membela diri tidak menghalangnya bercakap tentang isu korupsi dan salah laku.

“Negara makin teruk sejak 18 bulan di bawah PH. Lebih buruk daripada era Barisan Nasional dan kita rindukan era BN,” katanya.

“Kemarahan saya adalah kerana mereka menipu tetapi dalam sistem demokrasi, kita perlu tunggu lima tahun lagi sebelum kita boleh buat sesuatu. Jadi, gunakan pilihan raya kecil ini sebagai referendum lawan kerajaan,” kata ahli Parlimen Pekan itu.

Menurut Najib, rakyat sentiasa menjadi keutamaannya ketika menjadi perdana menteri.

Ucapan Najib Razak malam tadi berjaya memukau hadirin yang hadir pada majlis BN di Pekan Nanas, Johor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 November, 2019.

Misalnya, bagi menggalakkan permintaan kepada minyak sawit, Najib berkata pentadbirannya menjalinkan hubungan baik dengan India dan China.

“Tetapi, kerajaan sekarang membuatkan kedua-dua negara ini marah dan India sekarang berkata mahu mengurangkan import minyak sawit. Dasar luar kerajaan ini tidak betul,” katanya.

Tambahnya, BN juga mempunyai pelan besar untuk Johor.

“Kita patutnya ada landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) menghubungkan Singapura ke Kuala Lumpur dan membina landasan enam lorong dari Ayer Hitam ke Johor Bharu. Johor patutnya jadi kuasa ekonomi baharu di Malaysia,” kata penduduk berusia 66 tahun itu.

Jika BN masih berkuasa, kata Najib, akan ada lebih banyak bantuan tunai di bawah program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), peningkatan gaji untuk penjawat awam dan Tabung Haji akan membayar dividen lebih tinggi.

Di bawah pentadbiran Najib, beberapa agensi seperti Felda dan Tabung Haji mengalami kerugian sehingga sekarang terpaksa diselamatkan kerajaan. Pentadbirannya juga menandatangani perjanjian berat sebelah dengan China menyebabkan penilaian projek lebih tinggi seperti yang berlaku di projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan projek paip gas Sabah yang tidak wujud.

Bekas pengerusi Felda Isa Samad yang dilantik pentadbiran Najib, berdepan 10 pertuduhan rasuah tahun lepas.

Ribuan hadir menyatakan sokongan kepada BN dan PAS, memberi petanda kerjasama politik itu diterima ramai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 November, 2019.

Najib sendiri berdepan beberapa kes rasuah dan salah guna kuasa berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd. Isterinya Rosmah Mansor, Zahid yang ketika itu timbalan perdana menteri dan bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor juga didakwa kerana korupsi.

Tetapi, semua fakta ini tidak menghalang Najib daripada meminta hadirin yang hadir supaya mengundi calon BN daripada MCA, Wee Jeck Seng.

“Kalau ada yang curiga tentang MCA, (biar saya beritahu) mereka adalah kawan yang sokong semua keputusan kita dahulu.

“Kerana itu, tuan puan semua kena lihat gambaran lebih besar dan pastikan mereka (MCA) menang pada Sabtu. Kemenangan di Tanjung Piai bermaksud kita makin dekat dengan Putrajaya.

“Mereka kata BN dan PAS tidak boleh menang di kerusi campuran. Tetapi, jika kita menang di sini, kita akan buktikan Muafakat Nasional ini besar (berkesan dan berharga).

“Ia bukan sahaja kemenangan untuk Wee atau MCA tetapi kemenangan untuk muafakat kita dan Islam,” kata Najib.

Walaupun akaun mereka dibekukan, acara ceramah mega BN masih lagi meriah dan gah seperti zaman pentadbirannya.

Selain persembahan kumpulan nasyid popular Rabbani selama 30 minit, pentas utama juga dilengkapi dengan dua skrin tayangan besar.

Walaupun ada penceramah lain semalam seperti Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman, Najib adalah bintang.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak hadir malam tadi, MCA pula diwakili Presiden Dr Wee Ka Siong dan Naib Presiden Ti Lian Ker.

Ceramah malam tadi adalah bukti Najib masih “bos” dalam Umno. – 15 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen