TIADA mana-mana pemimpin dalam PKR boleh mengugut parti atas keputusan yang telah dibuat oleh pimpinan parti melalui mesyuarat, kata presiden parti Anwar Ibrahim.
Anwar membayangkan keputusan Angkatan Muda Keadilan (AMK) memecah tradisi tidak menjemput Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali merasmikan kongres nasional sayap pemuda itu sudah diangkat ke mesyuarat biro politik dan majlis pimpinan pusat PKR.
“Tiada ada siapa yang boleh bagi ultimatum (kata dua), tiada siapa yang boleh menjadi terlalu sombong untuk tentukan keputusan,” katanya kepada wartawan di Kuala Terengganu selepas menghadiri Konvensyen PKR Terengganu.
“Keputusan ini dibuat dalam majlis biro dan mesyuarat MPP yang terbuka.
“Bukan keputusan setiausaha agung seperti mana disebut. Keputusan itu keputusan pimpinan parti dalam mesyuarat bulanan,” katanya.
Ditanya dakwaan Azmin ada “tangan ghaib” tidak mahu beliau berucap di kongres AMK, Anwar berkata pimpinan parti bermesyuarat dari masa ke masa.
Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir sebelum ini berkata Azmin tidak dijemput merasmikan kongres sayap itu antaranya kerana beliau gagal hadir mana-mana mesyuarat parti selama setahun.
“You media. You tak pernah datang mesyuarat, editor you tak panggil you,” katanya.
Sebelum ini Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata keputusan tidak menjemput Azmin adalah keputusan majlis pimpinan AMK dan beliau sebagai setiausaha agung tidak terlibat dalam urusan AMK.
Awal hari ini, lapan pemimpin PKR Sarawak diketuai pengerusi negeri Baru Bian mengumumkan akan membatalkan konvensyen negeri pada 23 November ini jika pucuk pimpinan parti tidak menyelesaikan isu jemputan AMK kepada Azmin dengan adil.
Bagaimanapun beberapa jam selepas itu, pengarah konvensyen negeri Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan konvensyen parti di Sarawak tetap diteruskan pada 23 November ini.
The Malaysian Insight difahamkan keputusan negeri menganjurkan konvensyen juga adalah keputusan mesyuarat biro politik PKR walaupun penganjurannya bukan wajib mengikut perlembagaan parti.
Mengulas status konvensyen PKR Sarawak, Anwar berkata bantahan pimpinan parti di negeri itu tidak menyeluruh sedangkan banyak pimpinan parti di peringkat cabang mahu acara itu diteruskan.
“Hanya beberapa orang tokoh Sarawak yang tidak mahu tapi saya dapat maklumat lain dan biar parti jelaskan,” katanya.
“Ramai lain mahu teruskan… kebanyakan ketua cabang mahu konvensyen diteruskan.”
Ditanya apakah pendiriannya berhubung konflik itu, Anwar berkata sebagai pemimpin parti beliau patuh kepada keputusan ditetapkan dalam majlis pimpinan mesyuarat.
“Apa pun mesyuarat biro politik dua kali sebulan atau mingguan… mesyuarat MPP tiap bulan. Semua boleh bagi pandangan, boleh bantah, boleh tolak.
“Semua keputusan yang dibuat dalam MPP.
“Keputusan ini semua diputuskan MPP. Apa-apa perubahan… bukan ugutan oleh mana-mana tokoh… tapi mesti dibuat melalui keputusan mesyuarat,” katanya.
Terdahulu semasa berucap di Konvensyen PKR Terengganu, Anwar berkata beliau tidak kisah jika ada sebarang tentangan dalam parti namun harus dibuat mengikut saluran yang betul.
Katanya, jika ada yang membantah beliau sebagai bakal perdana menteri kelapan, orang itu boleh membawa usul ke Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Jika ada yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya sebagai presiden PKR, orang itu boleh jadi calon presiden dalam pemilihan parti akan datang, tambahnya.
“Ada orang nak ugut Anwar, nak ugut Anwar tunggu pemilihan… bertanding lawan Anwar, tidak ada masalah.
“Cadangan saya sebagai perdana menteri ke lapan bukan dari saya, masa dibuat saya di penjara. Tapi kalau nak ubah boleh bawa usul dalam mesyuarat pujuklah Bersatu, DAP, Amanah.
“Saya tak kisah sebab itu proses demokrasi,” katanya. – 15 November, 2019.
Komen