Konvensyen PKR Sarawak tidak batal, kata ibu pejabat parti


Pengarah konvensyen negeri PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata penganjuran konvensyen parti negeri itu sudah dibincangkan dengan pimpinan PKR Sarawak sejak September lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2019.

PKR Sarawak sekali lagi jadi medan pertelingkahan yang dikaitkan dengan krisis kepimpinan dan perpecahan dalam parti antara kumpulan yang menyokong Presiden Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali.

Jawatankuasa pengelola konvensyen PKR negeri memaklumkan konvensyen parti di Sarawak pada 23 November ini tetap diteruskan, beberapa jam selepas pimpinan negeri membuat pengumuman konvensyen itu batal.

Lapan pemimpin PKR Sarawak diketuai pengerusi negeri Baru Bian awal hari ini berkata konvensyen itu batal sebagai bantahan terhadap keputusan Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak menjemput Azmin merasmikan kongres sayap pemuda itu.

Pengarah konvensyen negeri PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata penganjuran konvensyen parti negeri itu sudah dibincangkan dengan pimpinan PKR Sarawak sejak September lepas.

Perbincangan yang terakhir ialah semalam, katanya.

“Seharusnya jika pihak Majlis Pimpinan Negeri Sarawak percaya dengan semangat demokratik Keadilan, mereka tidak sewenang-wenangnya berhajat untuk membatalkan Konvensyen Negeri Sarawak yang telah dibincangkan dan diputuskan bersama,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

“Justeru Konvensyen Negeri Sarawak akan diteruskan di Pullman, Miri pada tarikh dan masa asal.

“Komitmen kita kepada disiplin organisasi dan peraturan mesti mengatasi apa-apa tradisi,” katanya.

PKR Sarawak pernah jadi medan pertelingkahan setahun yang lalu semasa pemilihan parti sehingga menyebabkan pengundian di beberapa cabang diadakan semula.

Awal hari ini, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dan tujuh pemimpin parti negeri berkata keputusan AMK menjemput Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan kongresnya adalah satu pengkhiatan kepada tradisi iaitu timbalan presiden merasmikan kongres sayap.

Kenyataan itu disertai antaranya Timbalan Pengerusi PKR Sarawak Ali Biju serta Ketua Wanita PKR Sarawak Nurhanim Mokhsen.

PKR Sarawak berkata keputusan AMK menjemput Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan kongresnya adalah satu pengkhiatan kepada tradisi iaitu timbalan presiden merasmikan kongres sayap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2019.

Ketua AMK Sarawak Saifunnizam Sam tidak tersenarai dalam kalangan lapan pemimpin negeri itu. Nama beliau sebaliknya bersama 13 ketua sayap negeri dalam satu kenyataan semalam menyokong keputusan pimpinan pusat sayap menjemput Dr Wan Azizah sebagai perasmi kongres AMK.

Lapan pemimpin PKR Sarawak itu juga menyifatkan demokrasi dalam parti sedang “dikuburkan secara terang-terangan.”

“Prinsip ‘satu ahli, satu undi’ kini hanya tinggal slogan semata-mata tanpa pelaksanaan yang sebenar dan hanya sekadar mainan sandiwara beberapa kerat pimpinan Keadilan. 

“MPN Sarawak dengan tegas, tidak akan bertolak ansur sekiranya prinsip demokrasi yang menjadi asas kepada perjuangan Keadilan sejak sekian lama dihumban dan dilenyapkan,” kata kenyataan itu.

Pada pemilihan parti setahun yang lalu, 21 daripada 25 anggota pimpinan pusat AMK yang terpilih menyokong Azmin sebagai timbalan presiden.

Kelmarin, kumpulan 21 itu yang diketuai Timbalan Ketua AMK Hilman Idham mengeluarkan kenyataan bersama membantah keputusan pimpinan sayap menjemput Dr Wan Azizah dan bukannya Azmin.

Ketua AMK Akmal Nasir dalam reaksi balas menegaskan keputusan itu dibuat oleh mesyuarat parti yang tidak dihadiri oleh majoriti kumpulan 21 ini.

Beliau juga menjelaskan jemputan kepada Azmin dibatalkan selepas timbalan presiden itu tidak memberi jawapan balas enam minggu selepas jemputan dikirim kepadanya. – 15 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen