PKR Sarawak membatalkan konvensyen parti negeri sebagai membantah keputusan Angkatan Muda Keadilan (AMK) membatalkan jemputan kepada timbalan presiden Mohamed Azmin Ali untuk merasmikan kongres nasional sayap pemuda itu bulan depan.
Konvesyen PKR Sarawak sepatutnya berlangsung pada 23 November ini.
Lapan pemimpin PKR Sarawak dalam satu kenyataan berkata keputusan AMK adalah satu pengkhianatan kepada tradisi iaitu timbalan presiden merasmikan kongres sayap.
Pengkhianatan itu kini menjadi satu krisis yang mengheret parti ke ambang perpecahan, kata mereka.
“Sekiranya krisis ini tidak ditangani dengan segera oleh pimpinan tertinggi, ia akan mengakibatkan krisis dan perpecahan di dalam Keadilan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dan timbalannya Ali Biju serta enam pemimpin negeri yang lain termasuk Ketua Wanita PKR Sarawak, Nurhanim Mokhsen.
Ketua AMK Sarawak Saifunnizam Sam tidak tersenarai dalam kalangan lapan pemimpin negeri.
Nama beliau sebaliknya bersama 13 ketua sayap negeri yang menyokong keputusan pimpinan pusat sayap menjemput Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perasmi kongres AMK.
PKR Sarawak melihat keputusan AMK pusat mengetepikan suara akar umbi yang memilih majoriti pimpinan sayap itu sekali gus mengancam demokrasi dalam parti, yang kata mereka sedang “dikuburkan secara terang-terangan.”
“Prinsip ‘satu ahli, satu undi’ kini hanya tinggal slogan semata-mata tanpa pelaksanaan yang sebenar dan hanya sekadar mainan sandiwara beberapa kerat pimpinan Keadilan.
“MPN Sarawak dengan tegas, tidak akan bertolak ansur sekiranya prinsip demokrasi yang menjadi asas kepada perjuangan Keadilan sejak sekian lama dihumban dan dilenyapkan,” kata kenyataan itu.
Pada pemilihan parti setahun yang lalu, 21 daripada 25 anggota pimpinan pusat AMK yang terpilih menyokong Azmin sebagai timbalan presiden.
Kelmarin, kumpulan 21 itu yang diketuai Timbalan Ketua AMK Hilman Idham mengeluarkan kenyataan bersama membantah keputusan pimpinan sayap menjemput Dr Wan Azizah dan bukannya Azmin.
Ketua AMK Akmal Nasir dalam reaksi balas menegaskan keputusan itu dibuat oleh mesyuarat parti yang tidak dihadiri oleh majoriti kumpulan 21 ini.
Beliau juga menjelaskan jemputan kepada Azmin dibatalkan selepas timbalan presiden itu tidak memberi jawapan balas enam minggu selepas jemputan dikirim kepadanya.
Azmin sebelum itu mendakwa ada “tangan ghaib” di belakang keputusan AMK yang mahu menghalang beliau daripada bersuara di kongres itu nanti. – 15 November, 2019.
Komen