APABILA Pakatan Harapan (PH) mengejutkan negara dengan kejayaan menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum tahun lalu, ia kerana gelombang anti-kerajaan.
Ketika itu terdapat rasa tidak puas hati yang meluas terhadap pentadbiran Barisan Nasional (BN) mengenai bagaimana cukai barang dan perkhidmatan (GST) menyebabkan kenaikan kos hidup, dan kemarahan terhadap rasuah dan kawalan Najib Razak terhadap kewangan negara.
PH menang disebabkan gelombang anti-BN dan melancarkan manifesto bercita-cita tinggi. Ia berjaya menawan Johor yang merupakan kubu Umno, dengan memenangi 36 daripada 56 kerusi negeri, dan 18 daripada 26 kerusi persekutuan termasuk Tanjung Piai.
Bagaimanapun 18 bulan kemudian, gelombang anti-BN yang bermula pada 2008, nampaknya semakin reda di negeri ini. Bukti terbaik pada Khamis malam apabila sorakan, bukannya kemarahan yang menyambut Najib di ceramah Kampung Lubok Sawah pada beberapa malam terakhir kempen berkempen sebelum mengundi di Tanjung Piai esok (Sabtu).
Sementara sebahagian besar mengakui PH melakukan kerja baik dalam menangani rasuah dengan tertangkapnya beberapa pemimpin Umno berprofil tinggi seperti Najib, isterinya, Rosmah Mansor, Ahmad Zahid Hamidi, Isa Samad dan Tengku Adnan Tengku Mansor.
Susulan ini, BN memberi fokus kempen Tanjung Piai terhadap janji PH yang tidak dipenuhi, menteri tidak berpengalaman dan calonnya Wee Jeck Seng.
Sebagai ahli Parlimen dua kali (2008-2018) yang digemari, sukar menemui hatta seorang pengundi di sini yang mempunyai sebarang aduan mengenai rekod perkhidmatan Wee.
Ramai pengundi mengingati beliau sebagai ahli Parlimen yang “baik” dan melayani aduan mereka atau memberi wang kepada kuil atau masjid apabila diperlukan.
Satu-satunya kecacatan dalam kerjaya politiknya ialah Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang didakwa kronisme dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2017, dan kini disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara Parlimen.
Wee berjaya menangkis serangan berhubung VEP dengan menyalahkan kepada “politik”. Bagaimanapun, beliau tidak pernah menjelaskan bagaimana firma yang dikaitkan dengannya menerima kontrak daripada Kementerian Pengangkutan yang diketuai oleh presiden MCA ketika itu.
Karmaine Sardini daripada PH sebaliknya adalah seorang arkitek berpengalaman dengan latar belakang bersih dan seorang imam, sebelum Tanjung Piai, beliau hanya pernah bertanding sekali di Pontian menentang Ahmad Maslan daripada BN.
Selain pernah menjadi bendahari Umno Tanjung Piai, pesara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berumur 66 tahun itu langsung tidak pernah terpalit kontroversi sehingga pengundi Tanjung Piai lebih mengenali Wee berbanding ahli Bersatu itu.

BN kurang main retorik kaum, PH defensif
Bagaimanapun, 67% pengundi mungkin akan mengundi mengikut apa yang digariskan parti, kata Institut Darul Ehsan (IDE) dalam satu tinjauan.
Dalam kempen PRK Tanjung Piai, BN atau khususnya Umno, kurang memainkan retorik perkauman yang digunakan terhadap PH pada PRK Cameron Highlands awal tahun ini.
Salah satu faktornya ialah calon BN adalah berketurunan Cina dan sebab lain kerana ia mahu menawan khalayak yang lebih luas.
Selepas memuktamadkan agenda Perpaduan Ummah dengan PAS, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan memberitahu The Malaysian Insight, sudah sampai masanya memperluaskan rayuan pembangkang.
Ironinya, satu-satunya masa ia merayu kepada pengundi Melayu adalah semasa pelancaran Muafakat Nasional di Kampung Lubok Sawah pada malam Khamis.
Walaupun terdapat barisan pemimpin parti komponen bukan Melayu semasa pelancaran, acara itu sebahagian besarnya dijalankan oleh Umno dan PAS. Orang bukan Melayu hanya menonton sahaja.
Namun, BN masih belum menjelaskan apa sebenarnya Muafakat Nasional memandangkan PAS sebelum ini mengatakan orang bukan Islam tidak dibenarkan menentukan perkara dasar.
Ia hanya mengatakan bahawa perkongsian BN-PAS memerlukan orang bukan Melayu untuk mengalahkan PH dalam PRU15.
Sementara kempen PH pula menjelaskan kepada pengundi mengapa ia gagal memenuhi beberapa janji manifestonya.
Ini adalah penjelasan yang sama dilakukan menteri PH - bahawa Putrajaya memerlukan duit yang tidak dimiliki, jika ia ingin menunaikan janji untuk menangguhkan pembayaran pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara, atau memansuhkan tol.
Begitu juga, ketiadaan wang kerana kerajaan terpaksa membayar segala salah laku BN seperti kontrak berat sebelah dan melampau, skandal 1MDB atau saluran paip gas Sabah yang tidak wujud. – 15 November, 2019.
Berita penuh di sini
Komen