SUDAH 13 tahun berlalu sejak Lorhasima Said mula menetap di Rumah Pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Jajar di Permatang Pauh bersama suami dan tiga orang anak.
Kini kediaman tiga bilik yang disewa pada kadar RM100 sebulan itu semakin sesak kerana anak perempuan keduanya menetap bersama menantu dan tiga cucu yang masih kecil.
Lorhasima, 43, tidak mampu membeli kediaman lain dengan pendapatan kecil suaminya, katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di pangsapuri itu.
“Menantu lelaki saya kerja kilang besi, dia kerja sampai 12 jam tetapi gaji tidak sampai RM1,000. Isterinya tidak bekerja, hanya jaga anak di rumah bersama saya.
“Suami saya pula hanya pemandu lori, gajinya kadang-kadang tak sampai RM 1,000 kerana bergantung kepada jumlah trip yang dibawanya,” kata beliau.
Lorhasima berpendapat beliau bertanggungjawab membantu anak-anak tersebut, yang turut membantu menampung perbelanjaannya.
“Biasalah, anak-anak duduk dengan kita. Saya tak anggap itu satu beban. Kalau sebelum ini hanya harapkan gaji suami, sekarang anak menantu pun bantu untuk perbelanjaan rumah,” jelasnya.
Apabila tinggal sebumbung, anak-anak itu dapat menjimatkan perbelanjaan dengan berkongsi barangan dapur, sewa rumah, dan tidak perlu menghantar anak ke pusat asuhan.
Penghuni flat yang mempunyai 250 unit itu hanya perlu membayar sewa RM100 sebulan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai dan perlu memperbaharui kontrak sewa setiap lima tahun.
“Saya sebenarnya kasihan tengok anak, bukannya mereka tidak mahu kehidupan di rumah sendiri.
“Tapi suaminya dapat gaji bawah RM 1,100. Tidak tahu atas sebab apa. Sebabkan itu, mereka belum mampu beli ataupun sewa sebuah rumah,” tambahnya.
Enam lagi pasangan lain di Flat Ampang Jajar setinggi sembilan tingkat itu senasib dengan Lorhasima, tinggal sebumbung bersama anak yang tidak mampu menetap di kediaman sendiri.
Walau anak-anak mahu hidup berdikari selepas berkahwin, mereka tetap tinggal bersama kerana menerima gaji rendah daripada gaji minimum yang ditetapkan kerajaan, kata penghuni ini.
Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan Oktober lalu, kerajaan mencadangkan gaji minimum ditingkatkan kepada RM 1,200 bermula tahun depan.
Bagaimanapun, kenaikan daripada kadar RM1,100 sebulan yang dikuatkuasa Januari 2019 itu ditumpukan untuk bandar utama dalam negara sahaja.
Tuntutan untuk menaikkan kadar gaji minimum itu begitu mendesak di negeri seperti Pulau Pinang kerana sekurang-kurangnya satu daripada lapan penduduknya tinggal dalam kemiskinan.
Data daripada Jabatan Perangkaan dan Institut Penyelidikan Khazanah mendedahkan 13% daripada penduduknya, atau 53,362 buah keluarga tinggal dalam kemiskinan relatif.
Namun angka itu disyaki lebih tinggi kerana kaedah menghitung kadar kemiskinan tegar di Malaysia disangkal oleh pelapor khas Pertubuhan Bangsa Bersatu.
Menurut pelapor berkenaan, kadar kemiskinan yang realistik di Malaysia ialah antara 16% hingga 18% daripada penduduk dan bukan 0.04% seperti yang diumumkan kerajaan.
Gambaran sama seperti keluarga di PPR Ampang Jajar dapat dilihat dalam sorotan The Malaysian Insight ke Flat Desa Wawasan di Bukit Mertajam.
Di pangsapuri dua blok itu, hampir 20 buah rumah daripada 918 unit didiami oleh lebih daripada sebuah keluarga.
Antaranya, seorang ibu tunggal yang telah bercerai dengan suaminya tiga tahun lepas, Noor Ikzaurdi Mohamed.
Pada usia 43 tahun, wanita ini perlu bekerja sebagai kakitangan dapur sebuah premis makanan 24 jam selama enam hari seminggu untuk memperolehi gaji minimum.
Beliau mempunyai lima orang anak dan tinggal bersama ibu serta seorang adik lelaki di sebuah unit tiga bilik di Flat Desa Wawasan.
Di unit yang disewa pada kadar RM100 sebulan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu, anaknya terpaksa tidur beramai-ramai di ruang tamu.
“Gaji saya sebulan boleh mencapai RM 1,200 hingga RM 1,300 tetapi perlu bekerja enam hari seminggu.
“Walaupun saya merupakan pekerja tetap, tetapi gaji dibayar ikut jam iaitu hanya RM5 untuk satu jam. Gaji saya boleh mencapai RM 1,700 hanya apabila bekerja lebih masa,” kata beliau.
Beliau menjelaskan, ibunya yang berusia 63 tahun juga masih bekerja sebagai seorang pencuci dengan gaji hanya RM1,000 sebulan.
Ibu beliau bekerja pada sebelah pagi dan beliau pula bekerja sebelah petang hingga lewat malam. Mereka akan bergilir-gilir untuk menjaga lima orang anaknya yang masih bersekolah.
“Saya bukan mahu susahkan mak, dia pun tua tapi masih bekerja. Memang saya mahu sangat duduk berasingan, tapi saya tidak mampu nak tanggung kos asuhan anak-anak.
“Nak menyewa atau membeli rumah lain pun diluar kemampuan, saya dah cuba memohon untuk dapatkan rumah PPR tapi dah dua kali ditolak.
“Untuk kali ketiga saya dah mohon dan tidak tahu lagi keputusannya,” jelasnya yang turut menerima bantuan zakat RM400 sebulan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Desa Wawasan, Muhammad Sanusi Ahmad, 53, turut mengakui ramai penduduk tidak mampu berpindah kerana menerima gaji rendah daripada kadar minimum.
Malah, ada yang perlu bekerja lebih lapan jam untuk mencapai gaji minimum. Atas sebab itu, ramai anak-anak masih menumpang rumah ibu bapa mereka bagi menjimatkan perbelanjaan.
“Ada juga suami isteri bekerja, tapi mereka perlu bayar kos asuhan anak-anak. Jadi untuk berjimat, mereka duduk dengan ibu bapa sahaja,” jelas beliau. – 17 November, 2019.
Komen