NOH Omar mencabar pemimpin DAP Lim Kit Siang supaya menasihati anaknya meletak jawatan susulan kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan perumahan mampu milik di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Noh yang merupakan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan berkata, ini kerana pemimpin veteran DAP itu pernah membuat kenyataan agar beliau meletak jawatan ekoran kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, Kuala Lumpur bulan lalu.
“Bila Lim Kit Siang buat kenyataan tersebut, saya baca, saya pun terfikir juga, apa Kit Siang buat kenyataan suruh saya letak jawatan? Tapi sekarang ini, Tuhan Maha Kaya, terjadi pula kepada negeri anak dia.
“Saya nak Kit Siang buat kenyataan macam mana dia buat kenyataan suruh saya letak jawatan akibat kebakaran (pusat) tahfiz. Suruhlah anak dia letak jawatan atas tanah runtuh. Itu cakap-cakap politik,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng merupakan anak kepada Kit Siang. Beliau juga merupakan setiausaha agung DAP.
Menurut Noh, Putrajaya di bawah kementeriannya telah menyediakan “Garis Panduan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi” untuk dijadikan panduan oleh setiap negeri tetapi seperti Pulau Pinang, negeri di bawah pentadbiran DAP tersebut mempunyai garis panduannya sendiri yang dinamakan “Safety Guideline for Hillsite Development 2012.”
“Mengikut pihak kerajaan negeri Pulau Pinang, mereka punya lagi lengkap dan lebih terperinci kerana mungkin di Pulau Pinang tanah tinggi mereka mungkin tak sama dengan negeri-negeri lain. Dan kerana itu, mereka telah sediakan ‘Safety Guideline Hillsite Development’,” katanya.
Tanah runtuh pada Sabtu lalu mengorbankan 11 pekerja projek pembinaan apartmen mampu milik 50 tingkat itu.
“KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) ini kita hanya buat garis panduan tapi kuasa-kuasa penuh ini tetap kepada PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) pada kerajaan negeri.
“Kita hanya bagi garis panduan. Kita tak boleh nak paksa sebab kuasa dia (kerajaan negeri),” kata Noh.
Jabatan Alam Sekitar (JAS), telah menolak permohonan kelulusan pembinaan daripada pemaju Pulau Pinang yang tapak projek mereka dilanda tanah runtuh.
Satu kenyataan rasmi dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada malam semalam berkata, surat penolakan JAS kepada pemaju, Taman Sri Bunga Sdn Bhd dikeluarkan pada 23 Januari tahun 2015 selepas mengambil kira semua faktor. – 23 Oktober, 2017.
Susulan tanah runtuh, Noh Omar cabar Kit Siang suruh anak letak jawatan
Komen