Tapak projek dilanda tanah runtuh tak dapat kelulusan JAS


Looi Sue-Chern

Permohonan pemaju tidak diluluskan Jabatan Alam Sekitar kerana tapak projek berada berhampiran dengan kuari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2017.

JABATAN Alam Sekitar (JAS) telah menolak permohonan kelulusan pembinaan daripada pemaju Pulau Pinang yang tapak projek mereka dilanda tanah runtuh pagi semalam.

Dalam satu kenyataan malam ini, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata surat penolakan JAS kepada pemaju Taman Sri Bunga Sdn Bhd dikeluarkan pada 23 Januari tahun 2015 selepas mengambil kira semua faktor.

Kementerian berkata tapak pembinaan itu terletak bersebelahan dengan kuari granit tetap- Kuari Granit Teik- yang memulakan operasi pada 1960.

Kementerian mengatakan permohonan kelulusan pembangunan itu tidak boleh disokong kerana tidak wujud zon penampan yang mencukupi antara projek apartmen dengan aktiviti perlombongan yang berhampiran menurut Garis Panduan Kedudukan dan Zon Industri dan Kawasan Kediaman.

“Mereka mengadakan letupan dua kali sebulan dan kali terakhir pada 9 Oktober 2017.

“Sebaik sahaja batu diletupkan dari lereng bukit, ia dihantar ke tapak ‘penghancuran’ dalam kawasan kuari di mana batu kemudiannya dihancurkan kepada bahagian lebih kecil untuk kegunaan pembinaan.

“Aktiviti kuari jaraknya hanya 162 meter daripada tapak penghancuran dan antara 400 hingga 500 meter dari tapak letupan kuari. Kerana itu ia bukanlah persekitaran yang selamat dan aman untuk didiami manusia,” kata kementerian.

Pemaju memohon kelulusan JAS untuk projek apartmen itu dua tahun lepas pada 5 Januari 2015.

Jabatan juga berkata pembinaan itu memerlukan kajian kejuruteraan terperinci yang kemudiannya mungkin memerlukan kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) kerana ia melibatkan tebing curam.

“Malangnya, mereka memutuskan untuk tidak mengikuti nasihat kami dan meneruskan pembinaan sekaligus secara terang-terangan mengabaikan nyawa pekerja mereka.

“Kementerian sangat kecewa dengan kekurangan perhatian Kerajaan Pulau Pinang kepada projek ini. Walaupun terdapat bantahan JAS sejak mula lagi, pemaju memulakan kerja pembinaan tanpa memikirkan kesannya,” kata kementerian.

Tanah runtuh itu menanam hidup-hidup 11 pekerja tapak pembinaan di Lembah Permai, Tanjung Bungah. Setakat malam ini, sembilan mayat pekerja asing sudah ditemui. Dua masih hilang termasuk seorang penyelia tapak rakyat Malaysia.

“Kementerian menggesa Kerajaan Pulau Pinang menyemak kembali rancangannya untuk membina apa sahaja projek lereng bukit.

“Kami percaya kerajaan akan melakukan perkara betul dan menghalang kejadian serupa daripada berlaku lagi demi kebaikan rakyat.”  – 22 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen