Pemimpin pembangkang Kemboja akan ke Jakarta esok


Alfian Z.M. Tahir

Gambar dimuat naik Sam Rainsy di Facebook menunjukkan pemimpin Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja bersama rakan berada di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.– Gambar Facebook, 13 November, 2019.

PEMIMPIN pembangkang Kemboja Sam Rainsy masih berada di Malaysia malam ini selepas dihalang menaiki penerbangan ke Indonesia, kata sumber kerajaan.

“Kini Indonesia telah memberi kebenaran. Beliau akan menaiki penerbangan pagi esok,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Terdahulu Rainsy menerusi akaun Facebooknya berkata beliau terlepas penerbangannya ke Jakarta dan akan tiba esok pagi.

Rainsy dan rakan anggota Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) Mu Sochua berada di Malaysia sejak minggu lalu ketika cuba untuk kembali ke Kemboja.

Sementara itu, pemimpin PKR Tian Chua memberitahu The Malaysian Insight bahawa Indonesia bersetuju untuk benarkan Rainsy memasuki negara itu dan beliau akan menaiki penerbangan esok pagi.

Sementara itu, isteri Rainsy, Tioulong Saumura mengesahkan pengasas CNRP itu akan menaiki penerbangan paling awal ke Jakarta esok.

Rainsy dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta pada pukul 10 pagi.

Pemimpin politik berkenaan tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada 9 November lalu selepas tidak dibenarkan menaiki pesawat Thai Airways dari Paris yang mana beliau hidup dalam buangan.

Pada Selasa, beliau bertemu ahli Parlimen Pakatan Harapan di Parlimen dan memberitahu pemberita bahawa ini adalah “masa terbaik” untuk tokoh pembangkang Kemboja kembali ke negara mereka berikutan Perdana Menteri Hun Sen di bawah tekanan demokrasi.

Pemimpin berusia 70 tahun yang berasal dari Phnom Penh itu berdepan sekatan perdagangan oleh Kesatuan Eropah sekiranya enggan mengiktiraf pembangkang.

Naib presiden CNRP, Mu Sochua juga bertemu pemimpin Pakatan Harapan. Beliau dan dua anggota parti lain hampir dihantar pulang ke Kemboja minggu lalu sehingga campur tangan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Tokoh pembangkang Kemboja itu merancang untuk kembali ke negara asalnya melalui jalan darat dengan merentasi sempadan Thailand. Tentera Kemboja telah diarahkan ke sempadan bagi menghalang kemasukan mereka.

Ketika ditanya mengenai rancangan seterusnya untuk pulang, Rainsy enggan mengulas lanjut dan menyatakan ia atas sebab keselamatan.

CNRP ditubuhkan pada 2012, selepas parti hak asasi manusia bergabung dengan parti Rainsy.

CNRP diharamkan pada 2017 oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Sen. – 13 November, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen