Pemimpin pembangkang Kemboja mahu segera pulang


Diyana Ibrahim Ragananthini Vethasalam

Pemimpin pembangkang Kemboja Sam Rainsy bersedia menghadapi tindakan keras kerajaan diterajui bekas pemimpin tentera Hun Sen yang mengharamkan parti CNRP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 November, 2019.

PEMIMPIN pembangkang Kemboja Sam Rainsy ingin segera pulang ke tanah airnya untuk memimpin kebangkitan rakyat bagi mengguling kerajaan kuku besi diterajui Hun Sen.

Beliau akan mencari jalan lain untuk menyusup masuk ke Kemboja kerana rancangan asalnya disekat, katanya ketika bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Ketika ditanya, Rainsy bagaimanapun enggan mendedahkan laluan tersebut atas faktor keselamatan.

“Demi keselamatan, saya tidak boleh dedahkan ke mana saya akan pergi. Ia tidak selamat bagi kami,” katanya dalam sidang media bersama seorang lagi pemimpin pembangkang, Mu Sochua.

Kedua-duanya merupakan antara barisan pemimpin pembangkang Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) yang ditahan sebaik tiba di KLIA pada minggu lalu.

Rainsy yang merupakan pengasas CNRP dan naib presidennya Sochua dijadualkan untuk menghadiri perhimpunan besar di Phnom Penh pada Jumaat.

Mereka juga bersedia menghadapi tindakan keras kerajaan diterajui bekas pemimpin tentera Hun Sen yang mengharamkan parti CNRP.

Pengasas CNRP Sam Rainsy dan naib presidennya Mu Sochua bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan ahli Dewan Rakyat yang dianjurkan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 November, 2019.

“Kerajaan Kemboja bersedia untuk mengambil tindakan. Mereka mengerahkan tentera, senjata api untuk membunuh kami.

“Tapi Hun Sen takut kerana tidak pasti kesetiaan tentera. Tentera akan berpihak kepada rakyat tidak pada diktator, jadi ini adalah tekanan dalaman dihadapi mereka,” katanya lagi.

Bagaimanapun kerajaan Hun Sen kini menghadapi tekanan daripada Kesatuan Eropah yang mengancam menggantung perdagangan ke negara itu sekiranya menolak demokrasi.

“Jika mereka (kerajaan) tidak mahu Kemboja berdepan dengan ekonomi krisis yang menyebabkan ratusan ribu kehilangan pekerjaan, mereka perlu mengembalikan demokrasi,” katanya.

Rainsy dan Sochua bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan ahli Dewan Rakyat yang dianjurkan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Rainsy melahirkan terima kasih kepada Malaysia yang dilihat menyokong demokrasi.

“Saya amat berbesar hati dengan kerajaan Malaysia, pihak berkuasa dan ahli Parlimennya kerana membenarkan kami tinggal di sini dan hormat hak asasi kami biarpun kerajaan Kemboja kata sebaliknya.

“Kami bukan penjenayah tapi demokrat dan pejuang kebebasan,” katanya.

Sochua, ditahan ketika cuba melakukan perjalanan ke Thailand sebagai persiapan melintasi sempadan melalui jalan darat ke Kemboja.

Sochua dan dua pemimpin pembangkang yang lain dibebaskan pada hari berikutnya selepas campur tangan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.

Malaysia memberi jaminan tidak akan mengusir semua pemimpin Kemboja pulang ke Phnom Penh dan sebaliknya akan mencari negara ketiga untuk mereka. – 12 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen