Bekas ketua hakim negara ketuai jawatankuasa kaji hukuman gantian mati


Ragananthini Vethasalam

Bekas Ketua Hakim Negara Richard Malanjum antara yang menganggotai Jawatankuasa Khas Kajian Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2019.

JAWATANKUASA Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandotari akan terdiri daripada 10 anggota termasuk bekas Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, kata Timbalan Menteri Undang-undang Hanipa Maidin hari ini.

Hanipa memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa khas itu pada 29 Ogos untuk mengkaji secara menyeluruh dasar bagi menggantikan hukuman mati dengan hukuman dianggap sesuai oleh mahkamah.

Jawatankuasa khas akan terdiri daripada pakar dari sektor undang-undang seperti bekas ketua hakim, bekas peguam kanan persekutuan, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang dari institusi awam dan pakar penyelidikan.

Lapan anggota lain adalah bekas Hakim Besar Malaya Zaharah Ibrahim, Edmund Bon dari Pusat Perlembagaan dan Hak Asasi Malaysia, Andrew Khoo dari Majlis Peguam Malaysia, bekas peguam cara Zauyah Be T Loth Khan, bekas pegawai kanan di Jabatan Penjara Thang Ah Yong, Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, bekas pensyarah Universiti Malaya (UM) Dr Farah Nini Dusuki dan pakar kriminologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) P Sundramoorthy.

Hanipa berkata walaupun tokoh agama seperti mufti negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri tidak termasuk dalam jawatankuasa itu, mereka boleh menyuarakan pandangan melalui pelbagai platform yang akan digunakan untuk mengumpul maklum balas daripada semua pihak. – 13 November, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen