Tanah runtuh: Kerajaan negeri patut jawab, bukan salahkan pemaju sahaja


Low Han Shaun

Ahli Penang Forum, Dr Lim Mah Hui dan Penasihat Persatuan Penduduk Pulau Pinang, Meenakshi Raman ketika ditemui pada sidang media di lokasi kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2017.

GABUNGAN kumpulan masyarakat sivil dan persatuan penduduk Pulau Pinang hari ini terkejut dengan sikap kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang membenarkan pemaju meneruskan pembinaan di kawasan yang tidak diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Penasihat undang-undang Persatuan Penduduk Tanjung Bungah, Meenakshi Raman berkata projek itu tidak sepatutnya diteruskan jika tidak diluluskan JAS.

“Yang paling kami terkejut bila dapat tahu JAS telah menolak projek ini pada 23 Januari, 2015. Walaupun begitu, kerajaan negeri dan majlis perbandaran masih benarkan.

“Ini bertentangan dengan nasihat JAS. Macam mana boleh berlaku?” katanya kepada pemberita di Tanjung Bungah.

Selain mengorbankan 11 nyawa pekerja di tapak pembinaan itu, insiden itu juga turut “meruntuhkan” projek pangsapuri mampu milik itu.

Meenakshi yang juga penasihat Persatuan Penduduk Pulau Pinang berkata, JAS juga patut dipersalahkan atas kejadian itu kerana jabatan itu tidak ambil kisah, selepas membatalkan kelulusan untuk projek itu.

“JAS patut ikuti perkembangan. Itu tanggungjawab mereka. Apa yang mereka selalu kata adalah ini hal ehwal negeri dan pihak berkuasa tempatan. Tetapi bila mereka ada kuasa di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar, mereka sepatutnya dah halang perkara ini berlaku dari awal lagi,” katanya.

Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 bertujuan untuk mencegah, mengurang dan mengawal pencemaran dan juga memulihara alam sekitar di Malaysia.

Malah kata Meenakshi, sekiranya cadangan JAS cuma diambil sambil lewa, tidak ada gunanya jabatan itu.

“Kamu tak sepatutnya mendakwa cadangan JAS itu cuma garis panduan. Kalau garis panduan pun tak ikut, apa gunanya ada garis panduan?

“Bila kerajaan yang sepatutnya mengikut undang-undang tidak ikut undang-undang, jadi siapa lagi yang patut ikut undang-undang?” soal Meenakshi.

Sementara itu, Ahli Penang Forum, Dr Lim Mah Hui yang turut hadir pada sidang media itu menyangkal dakwaan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy yang berkata kejadian terbabit tidak ada kena mengena dengan projek pembangunan lereng bukit itu.

Kata Dr Lim, kejadian ini bukan sekadar kemalangan biasa sebab ia “bukan tanggungjawab pekerja untuk tahu sama ada akan berlakunya tanah runtuh atau kejadian bahaya.”

“Ini tanggungjawab jurutera. Saya bukan bercakap tentang jurutera dan pemaju sahaja. Saya bercakap tentang jurutera dan pihak kerajaan.

“Ini kerana dibawah garis panduan pembangunan di bukit terang menyatakan bahawa unit geoteknikal majlis perbandaran bertanggungjawab untuk semua ini,” katanya yang juga bekas ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang selama enam tahun.

Tambahnya lagi, dia sedar akan kelebihan dan kekurangan unit geoteknikal MBPP, selain berkata bahawa mereka kekurangan pekerja.

“Tidak seperti di Hong Kong yang populasinya bagai langit dan bumi dengan kita di sini, mereka ada jurutera berkemahiran seramai 200 orang. Setiap jurutera di sana ditugaskan menjaga setiap bukit dan mereka harus bertanggungjawab.

“Jadi, persoalannya di sini, jika kamu ada garis panduan, dan kamu tak cukup kapasiti, kenapa kamu masih lulus dan teruskan banyak projek?” katanya.

Dia juga mengulang hal sama bahawa adakah kerajaan negeri Pulau Pinang mengikut peraturan kerana kerajaan negeri membenarkan pemaju swasta untuk membuat sendiri penilaian alam sekitar.

“Jadi kamu tak ada kemampuan. Sepatitnya mengaku sahaja kamu tak ada kemampuan sampai kamu ada kemampuan. Kita tak sepatutnya meluluskan sahaja projek dan bergantung semata-mata kepada sektor swasta untuk tentukan polisi.

“Perbuatan itu semacam harapkan pegar jaga padi sahaja,” katanya. – 23 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen