Tanah runtuh: Kumpulan masyarakat sivil gesa siasat pihak atasan


Looi Sue-Chern

(Dari kiri) Timbalan Presiden Sahabat Alam Malaysia, Mohideen Abdul Kader; Dr Lim Mah Hui; Dr Kam Suan Pheng, dan Meenaksi Raman semasa sidang akhbar di Persatuan Sahabat Alam Malaysia dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2017.

FORUM Pulau Pinang hari ini mempersoalkan sama ada kerajaan negeri sudah mematuhi garis panduan keselamatannya sendiri berhubung pembangunan di lereng bukit.

Gabungan kumpulan masyarakat sivil itu berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng sendiri menulis dalam garis panduan yang dikeluarkan pada 2012 yang pihak berkuasa tempatan – Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Prai – memperkukuhkan unit geoteknikal mereka yang memproses dan meluluskan pembangunan di kawasan bukit, diikuti oleh penguatkuasaan yang ketat.

Kumpulan itu memetik Lim berkata yang pasukan pengawasan akan ditubuhkan untuk memastikan pematuhan dalam pembinaan dan pemantauan keadaan cerunan.

“Persoalannya, apa yang berlaku kemudian? Adakah kerajaan negeri dan tempatan mematuhi garis panduan mereka sendiri? Atau ada kecuaian besar?” Soal Forum Pulau Pinang dalam sidang akhbar di Persatuan Sahabat Alam Malaysia dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang hari ini.

Kumpulan itu mempersoalkan kerajaan negeri susulan kejadian tanah runtuh mengorbankan nyawa pagi semalam di tapak pembinaan Lorong Lembah Pantai 3 di Tanjung Bungah yang menyebabkan 14 pekerja tertimbus.

Tapak ini terletak di kawasan kaki bukit, di mana pemaju swasta Taman Sri Bunga sedang membina sebuah projek apartmen mampu milik.

Kumpulan itu juga berharap semua pihak yang terlibat akan disiasat oleh satu siasatan suruhanjaya bebas.

“Semua pihak, bermula daripada jawatankuasa perancang negeri (SPC) yang dipimpin ketua menteri yang memberikan kelulusan untuk projek di lereng bukit hingga ke jawatankuasa  pusat sehenti dewan yang meluluskan projek pangsapuri kepada para jurutera yang sepatutnya memantau projek dan pemaju serta kontraktor yang menjalankan kerja, perlu disiasat dan dipertanggjungjawabkan,” kata kumpulan itu.

Bekas anggota dewan bandaraya Dr Lim Mah Hui, yang ahli Forum Pulau Pinang, berkata mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa, peraturan negeri tidak dapat menggantikan peraturan kerajaan tempatan.

“Peraturan Majlis boleh mengabaikan pihak berkuasa negeri. Tetapi daripada pengalaman saya sebagai ahli majlis, peraturan ini ‘terbalik’ di sini.

“Jadi, siasatan itu mesti termasuk SPC, untuk memeriksa sama ada peraturan dilanggar. Siasatan mestilah dari atas, bukan hanya memberi tumpuan kepada pemaju,” katanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah, Meenakshi Raman berkata mereka bimbang skop dan terma siasatan yang dicadangkan oleh kerajaan itu akan terlalu sempit, hanya melihat kepada isu keselamatan pekerja.

“Kita perlu pergi lebih ke atas untuk memeriksa sama ada peraturan diikuti atau tidak, atau jika majlis-majlis yang mempunyai kuasa untuk bertindak tegas tidak berbuat demikian kerana campur tangan pihak atasan.

“Kami berharap suruhanjaya ini dapat memberi contoh yang baik untuk negara ini,” katanya.

Gabungan yang termasuk SAM, CAP, Persatuan Alam Semulajadi Malaysia, Wanita untuk Perubahan,  Penang Heritage Trust, Friends of Botanical Gardens, dan 25 persatuan serta jawatankuasa pengurusan penduduk turut menggesa kerajaan menghentikan semua projek di kawasan bukit.

Mereka juga menggesa kerajaan meminda garis panduan 2009 mengenai “projek khas” bagi lebih jelas melarang semua pembangunan di atas kawasan bukit, kecuali untuk perkhidmatan awam yang penting.

Seorang lagi ahli Forum Pulau Pinang, Dr Kam Suan Pheng, pakar dalam sistem maklumat geografi, berkata ia jelas dalam Pelan Struktur yang pembangunan di kawasan tanah bukit yang terletak 250 kaki di atas paras laut atau dengan 25 darjah kecerunan adalah dilarang.

“Apa yang berlaku sekarang, banyak pemaju menarah bukit-bukit untuk menjadikan ia rata bagi pembinaan. Oleh itu, cerun-cerun kekal menjadi lebih curam dan kurang stabil. – 22 Oktober, 2017.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen