SYARIKAT perniagaan tidak boleh diharap untuk melaksanakan agenda sosioekonomi kerajaan termasuk membantu Bumiputera kerana matlamat utama mereka ialah mendapatkan keuntungan, kata pakar ekonomi Prof Dr Edmund Terrence Gomez.
Beliau berkata kebanyakan tokoh perniagaan enggan menyokong dasar itu kerana ia mendatangkan risiko kepada perniagaan mereka.
“Sebenarnya kita masih tak faham perkara mudah ini… apabila orang mulakan perniagaan mereka mahukan keuntungan
“Mereka tak jalankan perniagaan hanya semata-mata untuk membantu kerja sosial, kalau tak mereka akan bankrap,” katanya dalam forum Dilema Malaysia: Polisi Masa Depan Berdasarkan Kaum di Kuala Lumpur.
Gomez menjawab soalan seorang peserta forum yang bertanya mengapa Melayu masih ketinggalan biarpun menerima banyak insentif daripada kerajaan dan adanya dasar yang membantu mereka.
Seorang lagi ahli panel Ketua Pengarah Eksekutif Ahmad Yazid Othman Majlis Tindakan Ekonomi Melayu MTEM berkata ekonomi Bumiputera masih ketinggalan antaranya kerana tiada sokongan daripada syarikat gergasi.
Beliau memberi contoh YTL Corporation Berhad dan Kumpulan Berjaya, masing-masing milik taikun Francis Yeoh Sock Ping dan Vincent Tan Chee Yioun.
Menurut Edmund, syarikat korporat gergasi itu tidak perlu dipertikaikan sekiranya tidak membantu golongan Bumiputera.
Katanya, sekiranya peranan taikun bukan Melayu itu dipertikaikan, soalan sama juga wajar ditanya kepada ahli perniagaan korporat Bumiputera seperti Halim Saad, Tajuddin Ramli, Shamsuddin Abdul Kadir dan Samsudin Abu Hassan.
“Mereka ini juga tidak pernah berbuat apa-apa untuk golongan Bumiputera,” katanya.
Sementara itu, Yazid menyarankan kerajaan agar melaksanakan indeks perpaduan dalam kalangan syarikat swasta untuk memecahkan diskriminasi kaum di sektor pekerjaan.
Katanya, indeks perpaduan itu secara tidak langsung dapat membantu golongan Bumiputera yang paling terkesan dengan diskriminasi berbanding kaum lain.
Diskriminasi itu menyebabkan mereka antara kaum yang ketinggalan dalam mendapat peluang pekerjaan dan gaji yang setara.
“Indeks perpaduan ini kerajaan kena bagi ganjaran kepada syarikat yang mempromosikan kepelbagaian kaum dan perpaduan… ada polisi yang adil untuk semua kaum.
“Kita masih tidak ada lagi pelaksanaan ini dan patut usaha beginilah kita harus perhebatkan,” katanya, merujuk contoh amalan di United Kingdom.
Katanya, pelaksanaan di United Kingdom berjaya mempromosikan hak peluang sama rata semua kaum dalam peluang pekerjaan. – 9 November, 2019.
Komen